Azam Baki berhak saman pertahan maruah

SEPANG 22 Feb. – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyokong penuh tindakan saman oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki terhadap agensi media Bloomberg berhubung artikel yang didakwa berunsur fitnah.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim, berkata, setiap individu berhak mempertahankan reputasi dan maruahnya melalui saluran undang-undang jika berasakan diri difitnah atau dilaporkan secara tidak adil.

Jika benar laporan itu mengandungi elemen tidak tepat, mengelirukan atau berat sebelah maka tindakan saman adalah langkah sah dan profesional untuk membolehkan mahkamah menentukan kebenaran.

“Dalam negara hukum, tuduhan tidak boleh dijadikan hukuman tanpa proses perundangan yang adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jais pada masa sama berkata agensi media termasuk antarabangsa perlu menghormati prinsip undang-undang dan perlu dipertanggungjawabkan jika membuat laporan berunsur fitnah atau mengelirukan.

Beliau berkata, kebebasan media datang dengan tanggung jawab kewartawanan yang tinggi termasuk kewajipan semakan fakta, pengesahan silang sumber dan pelaporan seimbang.

Media antarabangsa tidak terkecuali daripada prinsip ini, mereka harus lebih adil dan berhati-hati supaya tidak diperalat oleh mana-mana pihak berkepentingan untuk membentuk naratif yang belum dibuktikan.

Jais berkata, MCW sentiasa memperjuangkan integriti dan kebenaran berasaskan fakta, dan Azam sebagai pihak dituduh dalam laporan berita terbabit berhak mengambil tindakan saman sebagai individu kerana ia bukan satu bentuk intimidasi atau penindasan ke atas kebebasan media.

“Menggunakan saluran mahkamah adalah pendekatan bertamadun dalam menyelesaikan pertikaian fakta dan reputasi, pada masa sama, MCW konsisten bahawa integriti institusi penguatkuasaan mesti dipertahankan.

“Tuduhan tidak berasaskan fakta dan disensasikan boleh memberi kesan negatif terhadap keyakinan rakyat serta pelabur antarabangsa terhadap sistem pentadbiran negara,” katanya.

Jais berkata, semua pihak perlu menghormati proses perundangan dan meminta tidak membuat sebarang spekulasi yang mengganggu perjalanan keadilan.

Katanya, MCW akan teguh mempertahankan integriti institusi dalam usaha memastikan perjuangan memerangi rasuah tidak dilemahkan oleh naratif tidak dibuktikan.

Related posts

Leave a Comment