WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menolak cadangan Presiden Rusia, Vladimir Putin, untuk melanjutkan secara sukarela had penempatan senjata nuklear strategik selepas perjanjian New START tamat tempoh.
Sebaliknya Trump mahu perunding dari kedua-dua negara duduk semeja bagi merangka perjanjian baharu, sambil menyifatkan perjanjian lama sebagai “dirunding dengan teruk”.
“Daripada melanjutkan ‘New START’, satu perjanjian yang dirunding dengan teruk oleh AS dan, selain itu, dilanggar secara besar-besaran, kita sepatutnya mengarahkan pakar nuklear kita untuk merangka satu perjanjian baharu yang lebih baik, moden dan mampu bertahan lama,” kata Trump menerusi di Truth Social.
Trump sebelum ini menyatakan hasrat supaya China turut terlibat dalam perjanjian baharu itu, namun pihak berkuasa di Beijing menunjukkan minat yang terhad untuk berbuat demikian.
Susulan tamatnya perjanjian New START bermakna kekangan terhadap simpanan senjata nuklear besar milik AS dan Rusia kini semakin berkurangan, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan perlumbaan senjata pada ketika kegelisahan global terhadap ancaman nuklear kembali meningkat.
Putin tahun lalu menyatakan Rusia sanggup mematuhi perjanjian itu untuk setahun lagi sekiranya Washington turut berbuat demikian.
Bagaimanapun, AS, yang sebelum ini menyuarakan rasa tidak puas hati kerana perjanjian tersebut mengehadkan keupayaannya menempatkan lebih banyak peluru berpandu terhadap Rusia dan China, mengabaikan tawaran itu.
Pada Khamis, Moscow menyatakan rasa kesal terhadap tamatnya perjanjian yang telah berdekad-dekad lamanya itu.
Nnn
