BANGKOK – Sebanyak 52.9 juta pengundi akan memilih 500 ahli Dewan Perwakilan pada pilihan raya umum (PRU) Thailand pada Ahad ini selepas Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, membubarkan Parlimen pada 12 Disember lepas.
Di samping akan menentukan Perdana Menteri baharu, pengundi juga akan menyertai referendum perlembagaan kebangsaan bagi menggantikan Piagam 2017.
Pilihan raya awal itu diadakan selepas Anutin , perdana menteri ketiga negara itu sejak pilihan raya 2023, membubarkan Dewan Perwakilan ketika berdepan undi tidak percaya yang semakin hampir.
PRU kali ini dijangka menjurus kepada pertembungan tiga penjuru antara Parti Bhumjaithai pimpinan Anutin, pembangkang progresif yang diterajui People’s Party serta Parti Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.
Tinjauan pendapat menunjukkan People’s Party, penjelmaan ketiga gerakan progresif Thailand dengan sokongan kuat golongan belia, mendahului saingan selepas parti pendahulunya – Future Forward Party dan Parti Move Forward – dibubarkan oleh mahkamah.
Institut Pentadbiran Pembangunan Negara (NIDA) dalam tinjauannya menunjukkan People’s Party mendahului dengan sokongan 33.56 peratus, diikuti Bhumjaithai (22.76 peratus), Pheu Thai (16.92 peratus) dan Parti Demokrat (12.76 peratus).
Tinjauan itu turut menunjukkan pemimpin People’s Party yang juga calon perdana menteri, Natthaphong Ruengpanyawut sebagai pilihan utama untuk jawatan itu di seluruh negara, diikuti Anutin.
Bekas perdana menteri dan ketua Parti Demokrat Abhisit Vejjajiva berada di kedudukan ketiga manakala Yodchanan Wongsawat daripada Pheu Thai di tempat keempat.
Nnn
