Agong kunjungi Kompleks Smolny St Petersburg

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat melawat Kompleks Smolny, sebuah bangunan bersejarah penting di St Petersburg, Rusia semalam.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke kompleks yang kini berfungsi sebagai pusat pentadbiran bandar raya St Petersburg itu disambut oleh Gabenor St Petersburg Alexander Beglov.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Negeri St Petersburg Evgeny Dmitrievich Grigoriev.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda turut berkenan melawat Smolny Bunker, kubu perlindungan bawah tanah yang terletak di bawah Kompleks Smolny dan dibina pada 1937.

Seri Paduka Baginda turut diraikan dalam satu majlis santapan malam oleh Beglov yang turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Rusia Cheong Loon Lai.

Pada majlis santapan tersebut Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan tayangan video mengenai bandar raya St Petersburg.

Beglov turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai St Petersburg yang bukan sahaja menjadi antara destinasi pelancongan utama dunia, malah memiliki hampir 800 jambatan, 94 sungai dan kira-kira 200 muzium.

Seri Paduka Baginda tiba di St Petersburg bagi lawatan khas atas jemputan khas Presiden Rusia Vladimir Putin.

Nnn

Related posts

Leave a Comment