KUALA LUMPUR 17 Jan. – UMNO akan melaksanakan proses saringan ketat sebelum menerima mana-mana bekas ahli untuk menyertai semula parti itu, untuk mengelak sebarang risiko termasuk mencetus kekacauan dalaman serta melemahkan parti.
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak menjangkakan akan berlaku kemasukan semula bekas ahli secara beramai-ramai, namun sebarang penerimaan semula perlu ditangani dengan cerma bagi memelihara perpaduan dan kestabilan.
“Setakat ini, terdapat reaksi bercampur-campur dalam kalangan kepimpinan mengenai penerimaan semula bekas ahli… sebab itu kami perlu berhati-hati dan perlu ada proses saringan yang wajar.
Jika tidak, ia boleh mengganggu keharmonian parti dan seterusnya menjejaskan lagi parti sekiranya prosedur yang betul tidak dipatuhi,” katanya kepada pemberita ketika menyantuni petugas di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di sini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata UMNO bukanlah sebuah parti yang sewenang-wenangnya memecat ahli, namun mengakui ada yang sebelum ini meninggalkan parti susulan tindakan yang mencetuskan perpecahan dalaman.
Beliau menambah bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan mempengerusikan jawatankuasa yang ditugaskan untuk mengendalikan permohonan daripada bekas ahli.
Dalam ucapan dasar sempena perasmian Perhimpunan Agung UMNO semalam, Zahid mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab menguruskan permohonan untuk menyertai atau menyertai semula parti, sama ada secara individu atau berkumpulan.
Zahid berkata, jawatankuasa itu akan berfungsi sebagai platform untuk menyatukan semula mereka yang sebelum ini tersasar daripada UMNO, sambil menegaskan bahawa parti itu mesti kekal terbuka, inklusif dan berakar pada perjuangan asalnya.
Terdahulu, jurucakap Pemuda UMNO, Hilmi Elias mengingatkan supaya UMNO membuang sikap dan budaya cucuk-mencucuk dalam usaha mendorong kepemimipinan parti menolak daripada menerima kembali bekas ahli dan pemimpin ke dalam parti.
Ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Persidangan Agung UMNO 2025 hari ini, beliau berkata agenda ‘Rumah Bangsa’ akan menemui kegagalan jika sikap sedemikian terus berleluasa dalam parti.
“Saya faham walaupun presiden wujudkan ‘Rumah Bangsa’ untuk mengumpulkan semua yang merajuk, keluar dari landasan, tapi akan ada dalam kalangan kita yang tidak setuju.
“Maka wujudlah perangai cucuk-mencucuk dan sebagainya. Saya harap usaha UMNO menggerakkan penyatuan Melayu tidak diganggu gugat oleh sesiapa pun,” katanya.
Nnn
