KUALA LUMPUR 17 Jan. – Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh menolak tanggapan beliau tidak sehaluan dengan presiden, Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya menyifatkan dirinya “budak nakal” yang sayangkan ayahnya.
“Ramai yang cakap saya ni tak sehaluan dengan Datuk Seri presiden, tapi saya nak bagi tahu anak yang paling nakal, anak yang paling sayangkan ayahnya. Kerana dia tak sanggup melihat ayahnya (presiden) ditipu dan dimomokan dengan perkara tidak betul.
“Tak apa saya tak ada kepentingan…(tapi) UMNO ini perlu bangkit kembali, perlu berada di persadanya itu sahaja,” katanya ketika menggulung ucapan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dikatakan “tidak sehaluan” dengan Zahid disebabkan beberapa tindakannya sebelum ini termasuk gesaan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun Zahid menegaskan UMNO akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16.
Sementara itu, Zahid dalam ucapan penggulungannya menasihatkan Muhamad Akmal, agar lebih berhati-hati dalam perjuangan walaupun diberi kebebasan untuk bersuara dan bergerak sebagai sayap hadapan parti.
Dengan nada berseloroh namun berunsur peringatan, beliau mengibaratkan Ketua Pemuda UMNO sebagai seorang anak yang baik tetapi kadangkala ‘nakal’ dalam memperjuangkan isu-isu rakyat.
“Akmal ini anak yang baik, cuma sekali-sekala nakal. Bila anak bergaduh, ayah tidak semestinya marah atau hukum. Anak nakal tetap anak yang disayang,” katanya
Menurutnya, kebebasan yang diberikan kepada Pemuda UMNO adalah tanda kepercayaan dan kasih sayang kepemimpinan terhadap sayap parti itu, bukannya kelonggaran tanpa batas.
“Sebab itu bila Akmal bercakap lantang, saya tak panggil suruh berhenti. Bila Pemuda nak buat konvensyen, saya izinkan.” katanya.
Beliau bagaimanapun, mengingatkan Ketua Pemuda UMNO itu agar tidak mengulangi kesilapan generasi terdahulu yang akhirnya merugikan parti.
“Akmal, ayahanda pun pernah jadi Ketua Pemuda UMNO. Ayahanda pernah masuk ISA. Jangan terpijak kulit pisang yang sama,” katanya.
Presiden UMNO itu turut menegaskan bahawa Pemuda memainkan peranan penting sebagai suara akar umbi dan barisan hadapan parti, namun perlu terus berpijak di bumi realiti serta bergerak dalam kerangka kepentingan parti.
NNNNN
