Tangguh pemilihan, fokus pilihan raya 

KUALA LUMPUR 17 Jan  –  UMNO memerlukan kekuatan dalaman yang kukuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang mungkin diadakan tahun ini, dua lagi membabitkan PRN Johor dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Justeru kata Setiausaha Agungnya,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki, keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti dibuat selepas mengambil kira keperluan  untuk fokus kepada perkara lebih penting termasuk pilihan raya.

“Fokus kita pilihan raya dululah… PRN Melaka, Johor berkemungkinan berlaku tahun ini. Jadi selepas itu pilihan raya umum (PRU). Kalau kita sibuk dengan pemilihan parti nanti macam-macam cerita.

Sekarang ini UMNO memerlukan kekuatan dalaman yang solid (kukuh). Jadi saya kira, Alhamdulillah apa yang diputuskan oleh perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ketika tahun lepas, saya rasa ada kebijaksanaan,” katanya.

Bercakap pada media selepas melawat Laman Media sempena PAU 2025, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini, Asyraf Wajid berkata penangguhan pemilihan suatu langkah bijak untuk ‘memulihkan’ parti terlebih dahulu.

“Sebab kita sudah pun buat pindaan Perlembagaan. Perkara itu rasanya kita telah selesaikan dalam perhimpunan agung yang lepas.

“Dalam Perlembagaan kita, sama ada sebelum pilihan raya atau selepas pilihan raya dalam tempoh lima tahun, bila kata selepas pilihan raya itulah yang telah diputuskan oleh semua perwakilan dan ahli dalam konteks UMNO ini,” katanya

Semalam, Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan pemilihan UMNO yang dijadual berlangsung tahun ini akan ditangguhkan dan diadakan selepas PRU16.

Ditanya sama ada dua jawatan tertinggi dalam parti itu akan dipertandingkan pada Pemilihan UMNO, beliau berkata perkara itu juga akan diputuskan selepas PRU16.

Kali terakhir pemilihan UMNO sebelum ini adalah pada 18 Mac 2023 tanpa melibatkan pertandingan bagi dua jawatan utama parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden yang disandang Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hassan.

Sebelum itu, kali terakhir pertandingan melibatkan Presiden dan Timbalan Presiden berlaku adalah pada 2018 apabila lima calon bertanding termasuk Ahmad Zahid, Tengku Razaleig Hamzah dan Khairy Jamaluddin.

Ahmad Zahid yang ketika itu menjalankan tugas Presiden memperoleh 93 undi, manakala Khairy memperoleh 51 undi, manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mendapat 23 undi.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment