RAMALLAH – Palestin komited meneruskan usaha diplomatik bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump serta rakan‑rakan berkaitan dalam mencari penyelesaian terhadap konflik Palestin.
Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas, berharap tahun 2026 akan menyaksikan kemajuan dalam penyelesaian isu Palestin, sambil merujuk kepada apa yang digambarkannya sebagai tanda positif daripada pentadbiran AS.
Beliau berucap pada majlis penganugerahan ijazah kehormatan kedoktoran oleh Universiti Arab Amerika di Ramallah pada Khamis.
Abbas berkata, negara Palestin menyokong pembentukan Jawatankuasa Pentadbiran Palestin di Semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada fasa peralihan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Trump serta perantara iaitu Mesir, Qatar dan Turkiye atas usaha ke arah pelaksanaan fasa kedua pelan yang dicadangkan pentadbiran Trump.
Abbas menegaskan kepentingan penyelarasan institusi Autoriti Palestin di Tebing Barat dan Gaza, sambil mengingatkan keperluan mengelakkan pembentukan sistem pentadbiran, undang‑undang atau keselamatan selari yang boleh mengukuhkan perpecahan.
Beliau turut menggariskan visi politiknya yang menekankan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, hak kembali ke tanah air, serta penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dan berdaulat sepenuhnya dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara – hidup dalam keamanan dan keselamatan bersama negara jiran.
Palestin yang diidamkan akan berteraskan prinsip demokrasi, kewarganegaraan setara, kepelbagaian politik, kebebasan bersuara, penubuhan parti politik, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, hak asasi manusia, integriti dan kesaksamaan.
Beliau menegaskan bahawa pilihan raya legislatif dan Presiden secara langsung merupakan asas pemerintahan demokratik dan satu‑satunya jalan untuk peralihan kuasa secara aman berlandaskan undang‑undang, ketelusan, akauntabiliti serta pemberdayaan wanita dan golongan belia.
Katanya, kerja-kerja sedang dijalankan untuk menyediakan Perlembagaan sementara serta undang‑undang parti politik bagi persiapan pilihan raya akan datang.
