PBB kecam pencerobohan premis UNRWA

HAMILTON – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel di Baitulmuqaddis Timur yang disifatkan sebagai “pencerobohan tidak sah” terhadap sebuah kemudahan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) serta langkah menutup sebuah pusat kesihatan utama.

Dalam satu kenyataan, jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, Setiausaha Agung badan dunia itu, Antonio Guterres amat bimbang selepas UNRWA dimaklumkan bahawa pembekal utiliti akan menghentikan bekalan elektrik dan air kepada beberapa fasiliti agensi tersebut di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Mengingatkan Israel tentang kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, Haq seterusnya menyatakan bahawa Guterres “amat kesal pihak berkuasa Israel terus mengambil tindakan yang bercanggah dengan tanggungjawabnya, termasuk di bawah Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB.

Merujuk rampasan kompleks Sheikh Jarrah milik UNRWA oleh Israel, kenyataan itu menyebut: “Pada 8 Januari 2026, Setiausaha Agung telah menyuarakan kebimbangan mendalam beliau kepada Perdana Menteri Israel dan membawa perkara itu kepada perhatian Presiden Perhimpunan Agung PBB serta Presiden Majlis Keselamatan PBB.”

“Setiausaha Agung amat kesal bahawa pihak berkuasa Israel terus mengambil tindakan yang bercanggah dengan tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB,”

Haq menyatakan bahawa tindakan Israel merupakan pelanggaran terhadap prinsip ketakbolehcabulan premis PBB, sekali gus menjadi halangan kepada pelaksanaan mandat jelas Perhimpunan Agung bagi operasi berterusan UNRWA di Wilayah Palestin Diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur.

Justeru Setiausaha Agung menggesa kerajaan Israel segera mengambil langkah untuk memulangkan dan memulihkan kompleks Sheikh Jarrah milik UNRWA serta Pusat Kesihatan UNRWA di Baitulmuqaddis Timur, dan memastikan bekalan utiliti penting ke premis UNRWA dikekalkan.

Berikutan undang-undang yang diluluskan oleh Knesset pada 31 Disember 2025, pihak berkuasa Palestin melaporkan, kerajaan Israel pada Selasa mula mengarahkan pemotongan bekalan elektrik dan air ke bangunan-bangunan yang dikendalikan UNRWA di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Nnn

Related posts

Leave a Comment