Angka bukan lagi ukuran kejayaan, sokongan

JIKA pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, Setiausaha Agung Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan jumlah keahlian parti itu mencecah 3,447,445 orang tetapi sempena PAU 2025, angka itu meningkat kepada 3.52 juta.

Tentunya pengumuman itu sesuatu yang membanggakan anggota UMNO kerana mereka mempunyai jumlah ahli teramai berbanding lebih 1 juta keahlian yang dimiliki oleh Pas atau PKR

Namun angka tidak menggambarkan sokongan sebenar yang akan diterima pada hari pengundian, iaitu semasa pilihan raya diadakan.

DAP contohnya tidak bergantung kepada keahlian sebaliknya kepercayaan dan keyakinan kepada parti itu. Dan lihat berapa kerusi milik mereka.

Asyraf mengakui hakikat ini apabila pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah yang ke-17 baru-baru ini, UMNO memasuki gelanggang berbekalkan 622,637 ahli tetapi akhirnya undi yang diterima di Sabah hanyalah 144,584 undi.

Ke mana menghilangnya lebih 478,000 lagi ahli atau 80 peratus yang lain? Adakah mereka tidak keluar mengundi, tidak mengundi BN sebaliknya mengundi parti lain? Dan adakah yang mengundi BN itu benar-benar anggota UMNO?

“Pengajarannya, ahli bukan semestinya pengundi dan pengundi tidak semestinya kekal bersama kita,” kata Asyraf semasa membentangkan laporan perwakilan dan keahlian di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tegasnya PRN Sabah menjadi satu ‘wake up call’ terbesar buat UMNO.

Beliau berkata, sejarah politik Sabah mencatat tiga ‘Exodus’ gelombang penghijrahan besar-besaran iaitu pada 2016 dengan penubuhan Parti Warisan, 2018 sebahagian pimpinan menyertai Bersatu dan 2023 sebahagian lagi berhijrah ke GRS.

“Setiap gelombang ini telah menghakis kekuatan UMNO, memotong satu demi satu, urat nadi perjuangan UMNO Sabah,” katanya

Justeru,, UMNO perlu berani menghadapi cabaran penghijrahan politik yang tidak hanya berlaku di Sabah malah seluruh negara.

Jelas beliau, trend penurunan undi bukan berlaku di Sabah sahaja malah dalam tiga Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu PRU13, PRU14 dan PRU15.

Maka, peningkatan 46,655 ahli pada tahun ini masih belum boleh menentukan kemenangan parti itu pada PRN Melaka, Johor dan seterusnya pada PRU-16.

Statistik di banyak negeri menunjukkan jurang ketara antara jumlah ahli dan undi yang diterima. Sehubungan itu, kesetiaan parti tidak bergantung kepada jumlah ahli semata-mata.

“Kesetiaan hari ini tidak boleh lagi dianggap automatik. Apabila nafsu serakah mengatasi prinsip, apabila kepentingan peribadi mengatasi amanah perjuangan, maka kita akan kehilangan nusrah Allah, walau seramai mana pun kita di atas kertas,” katanya.

Berdasarkan kenyataan itu, UMNO dalam menghadapi pilihan raya akan datang terutama yang terdekat di Melaka perlu mengambil langkah untuk memastikan pengundi UMNO memberi sokongan kepada calon-calon pilihannya.

UMNO perlu membuat penilaian sejauh mana sokongan yang akan diberikan oleh anggota parti di samping tidak melupakan pengundi atas pagar.

Tanpa menolak sentimen Sabah untuk Sabah atau menolak parti dari Semenanjung, corak pengundian di Sabah boleh dijadikan panduan untuk mengenali faktor yang mendorong pengundi menolak calon UMNO atau BN.

Tentunya tidak sama pola pengundian di Sabah dengan Semenanjung tetapi sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan panduan. Ambil tahu pendirian anggota parti.

Dan yang menarik perhatian adakah penolakan DAP di Sabah akan berulang di Semenanjung yang tempiasnya akan turut dirasai UMNO yang berada bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan?

Kemungkinan itu tidak boleh ditolak kerana seperti kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ahmad Said, sentimen khuatir dengan kerjasama DAP menjadi antara perkara utama yang masih dibangkitkan akar umbi UMNO ketika ini.

Adakah sentimen ini jika tidak ditangani akan menyebabkan anggota parti malahan yang di atas pagar beralih arah?

Nnnn

Related posts

Leave a Comment