Peluang adil calon Wanita, Puteri

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Calon pilihan raya dalam kalangan Wanita dan Puteri UMNO perlu diberi peluang secara adil termasuk bertanding di kerusi selamat dan berpotensi untuk menang, kata Ketua Puteri, Nurul Amal Mohd Fauzi.

Katanya, adalah tidak adil kebolehan mereka dipersoalkan sejak awal sedangkan calon lelaki sering diberi laluan di kerusi berpotensi menang.

“Kalau lelaki boleh ditawarkan bertanding di kerusi selamat dan berpotensi, kenapa tidak Puteri?

“Janganlah Puteri hanya ditawarkan di kerusi sukar atau ‘tier three’, kemudian dipersoalkan mengapa tidak menang,” katanya ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Puteri UMNO, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini tiada seorang pun pemimpin Puteri UMNO bergelar Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), walaupun parti pernah memberi peluang bertanding di kawasan yang sangat mencabar.

“Saya sendiri diberi peluang bertanding di Kubang Kerian, Kelantan, berdepan Timbalan Presiden Pas (Tuan Ibrahim Tuan Man) pada Pilihan Raya ke-15 lalu.

“Kita bukan takut bertanding, tetapi keadilan dalam pemberian peluang itu perlu wujud,” katanya yang menyokong usul dari sayap Wanita parti itu yang menuntut pelaksanaan dasar 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan termasuk pelantikan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, berkata peluang kepada Wanita dan Puteri perlu diberikan secara adil, bukannya dipersoalkan kebolehan mereka sejak awal sedangkan calon lelaki sering diberi laluan di kerusi berpotensi menang.

“Kalau lelaki boleh ditawarkan bertanding di kerusi selamat dan berpotensi, kenapa tidak Puteri?

Nurul Amal berkata, tuntutan 30 peratus penyertaan wanita bukan semata-mata untuk mewakili suara wanita, sebaliknya merangkumi isu ekonomi, kesihatan, keluarga serta kesejahteraan negara secara keseluruhan.

“UMNO adalah parti paling lama memerintah negara, tetapi dalam soal ini kita masih ketinggalan berbanding parti lain. Bukan sahaja 30 peratus, malah ketika ini 20 peratus pun belum dicapai,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan Puteri UMNO sudah lama bergerak aktif memperjuangkan isu kesihatan mental golongan muda menerusi pelbagai inisiatif walaupun dengan sumber terhad.

“Puteri ada Biro Mental Health MOODA Care dan kami bergerak secara konsisten.

“Jika benar mahu Puteri menjadi juara isu ini, bantulah kami supaya gerakan ini dapat diperluaskan dan memberi kesan lebih besar,” katanya.

Beliau turut menolak persepsi bahawa Puteri UMNO hanya mengejar jawatan, sebaliknya menegaskan perjuangan sayap itu didorong oleh rasa sayang kepada parti dan keinginan melihat UMNO kembali kukuh serta menang dalam pilihan raya.

“Puteri hari ini bukan lagi Puteri yang manja. Kami sanggup berlawan dan bekerja untuk memenangi hati rakyat. UMNO perlu berani memberi ruang kepada calon daripada kepimpinan Puteri dan Wanita bagi memenuhi kuota 30 peratus calon wanita.

“Ini bukan sahaja mengukuhkan kepimpinan parti, malah memastikan kesinambungan generasi muda yang berwibawa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment