ADAKAH keputusan Dr Muhamad Akmal Saleh meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka sesuatu yang wajar? Adakah keputusan itu bakal ‘dirai’? Adakah mereka sedang bersorak gembira dengan keputusan itu?
Tidak sampai seminggu ‘dicabar’ oleh Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Ketua Pemuda UMNO itu mengumumkan peletakan jawatan Exco Melaka semasa berucap pada persidangan Pemuda Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hari ini.
Bagaimanapun Akmal kekal sebagai pemimpin Pemuda UMNO. Desakannya hanya melibatkan Kerajaan Perpaduan.
DAPSY pada 9 Januari lalu menggesa Akmal meletak jawatan sebagai Exco Melaka berikutan penegasan Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa parti itu akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Akmal kemudiannya didakwa lebih sayang kepada jawatan kerajaan, tidak lagi berbicara tentang penarikan diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Desakan supaya Akmal meletak jawatan itu susulan kenyataannya pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO, yang meminta partinya menarik diri dari Kerajaan Perpaduan dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dengan Pas.
Dan hari ini, Akmal membuktikan prinsipnya. Bukan menyerah kalah atau tunduk kepada desakan DAPSY sebaliknya keputusan itu bagi membolehkannya memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP, yang disifatkannya musuh yang nyata.
Persoalannya wajarkah Akmal meletak jawatan dalam kerajaan negeri Melaka yang dibentuk Barisan Nasional (BN) selepas memenangi 21 kerusi (UMNO 18, MCA 2 , MIC 1), diikuti Pakatan Harapan 5 (4 DAP 1 Amanah) dan Perikatan Nasional (2).
Situasi ini berbeza dengan hasrat Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah dari DAP yang menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan sekiranya “Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka” dibubarkan.
Adakah wakil DAP itu bersedia menyahut cabaran Akmal sebelum ini supaya DAP keluar daripada Kerajaan Perpaduan di negeri itu?
Allex sendiri menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pelantikannya sebagai Exco dibuat selepas Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh menjemput PH membentuk Kerajaan Perpaduan negeri itu pada 2023.
Justeru agak janggal apabila Akmal yang mewakili UMNO meletak jawatan, walaupun keputusannya itu bukannya untuk melayani cabaran DAP.
Apa pun terserah kepada Akmal yang lebih berprinsip berbanding mereka yang ‘tebal muka’ atau ‘bermuka-muka’ dengan jawatan. Dan pada masa yang sama menjadi hak Ab Rauf menerima atau menolak hasrat Akmal.
Kita tunggu kesudahan episod ini dan apa pula tindakan Akmal selepas ini setelah ‘mengisytiharkan’ peletakan jawatan itu untuk memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP, yang disifatkannya sebagai musuh yang nyata.
Dalam ucapannya yang panjang lebar hari ini, Akmal di bawah isu PEMUDA DAN MUSUH YANG NYATA berkata, Pemuda UMNO hari ini berdepan tekanan yang tidak lagi berselindung.
“Tekanan supaya kita diam. Tekanan supaya kita akur. Tekanan supaya kita ‘ikut sahaja’, walaupun akar umbi sudah lama resah dan marah.
Tetapi Pemuda UMNO bukan dilahirkan untuk menjadi penonton. Dan perjuangan ini tidak dibina atas sikap tunduk dan takut. Dalam politik, kita ada keimanan. Keimanan inilah yang membentuk akidah politik kita. Ia menentukan siapa kawan, dan siapa musuh yang nyata.
Hari ini, Pemuda UMNO perlu jujur menyebut perkara yang ramai tahu tetapi tidak semua berani lafazkan: Musuh yang nyata itu WUJUD dan musuh itu berada dalam pasukan yang ada dalam Kerajaan hari ini.
Musuh itu bukan sekadar berbeza pandangan. Musuh itu berulang kali mencabar perkara asas Melayu dan Islam. Mereka menyentuh isu agama, mereka mempersoalkan institusi, mereka memperlekeh simbol, dan setiap kali orang Melayu bangkit mempertahankan diri, kitalah yang dituduh melampau.
Pemuda UMNO tidak pernah mencari pergaduhan dengan musuh itu. Tetapi kita juga tidak akan berdiam diri apabila prinsip dan maruah dipijak.
Akmal menyelak kembali isu-isu yang dibangkitkannya dan mendapat perhatian DAP seperti isu kalimah Allah pada stokin; yang Pemuda UMNO lawan ialah KK Mart, tetapi MEREKA yang tampil menyelar Pemuda.
Isu halal; yang Pemuda UMNO persoalkan ialah pencabulan sensitiviti umat Islam, tetapi MEREKA juga yang marah Pemuda. Begitu juga isu bendera terbalik; yang Pemuda UMNO perangi ialah si pelaku yang menghina maruah negara, tetapi DAP yang buat laporan polis kepada Pemuda.
Kemudian datang lagi isu arak di majlis rasmi, isu tuntutan UEC, isu mempersendakan nasib pemimpin kami, apa lagi selepas ini? Sehingga ke hari ini, masih tiada langsung permohonan maaf dari YB Puchong!
Kata, mereka mencuit api sensitiviti, kemudian pura-pura terkejut apabila orang Melayu marah. Ini bukan salah faham. Ini bukan kebetulan. Ini adalah pola berulang yang disengajakan.
Mereka terus ulang dan ulang lagi, dan kita nak cakap “CUKUPLAH; LU ORANG MAHU APA SEBENARNYA?” Kamu semua mempertahankan penghinaan terhadap Islam dan Melayu – itu sudah cukup untuk menjelaskan siapa musuh Pemuda UMNO.
Keimanan dalam politik mengajar kita satu perkara yang jelas: ada garis yang tidak boleh dilintasi. Dan garis itu telah dilanggar secara terang-terangan. Bukannya kita tak husnuzon, tahun pertama kita dah gariskan apa yang boleh dielpasi.
Sebab itu bila Pemuda UMNO bersuara, jangan ajar kami tentang sopan. Jangan cakap kami ‘racist’, jangan tuduh kami ‘extreme. Kami tahu apa yang kami buat.
Pertahankan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan bukannya racist, tapi yang mempertikaikan Perlembagaan, itulah yang sebenarnya racist!
Dan jika DAP benar-benar mahu bermusuh, jangan berselindung di balik kuasa, jangan bermain dua wajah, jangan mencabar kemudian berpura-pura menjadi mangsa.
Mari kita berhadapan secara terbuka. Secara berprinsip. Dan secara berani. Pemuda UMNO tidak akan berundur walau satu langkah untuk pertahankan bangsa, agama dan Raja-raja!
Nnnn
