NEW YORK – Israel boleh dirujuk ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sekiranya gagal memansuhkan undang-undang yang menyasarkan agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNRWA, serta memulangkan semula aset dan hartanah yang dirampas.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres, memberi amaran itu menerusi sepucuk surat kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Dalam surat bertarikh 8 Januari itu, Guterres menegaskan PBB tidak boleh berdiam diri terhadap “tindakan yang diambil oleh Israel yang jelas bercanggah dengan kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa dan mesti dibatalkan tanpa sebarang kelewatan”,.
Parlimen Israel meluluskan undang-undang pada Oktober 2024 yang melarang UNRWA beroperasi di Israel serta menghalang pegawai Israel daripada berurusan dengan agensi itu.
Undang-undang tersebut kemudiannya dipinda bulan lalu bagi melarang bekalan elektrik dan air ke kemudahan UNRWA.
Pihak berkuasa Israel juga merampas pejabat UNRWA di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki pada bulan lalu.
PBB menganggap Baitulmuqaddis Timur sebagai wilayah yang diduduki Israel, namun Israel menganggap keseluruhan Baitulmaqdis sebagai sebahagian daripada negaranya.
Guterres menegaskan bahawa UNRWA merupakan “bahagian penting Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu” dan mengingatkan bahawa Israel kekal terikat dengan Konvensyen 1946 mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB, yang menetapkan bahawa premis PBB adalah tidak boleh dicerobohi.
Duta Israel ke PBB, Danny Danon, menolak keras kandungan surat tersebut.
Dalam satu hantaran di platform X, beliau berkata Israel tidak gentar dengan ancaman Setiausaha Agung PBB dan menuduh Guterres mempertahankan sebuah organisasi yang didakwa terlibat dengan keganasan.
Nn
