Exco Pertanian menghadap Sultan Selangor

KUALA LUMPUR 10 Jan . – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan disembah maklum mengenai perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung pengoperasian industri penternakan babi di Kuala Langat.

Menteri Besar Selangor,  Amirudin Shari dalam kenyataannya berkata, baginda Sultan Selangor telah perkenan untuk terima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor   Izham Hashim pada Isnin ini.

Katanya, perincian pengoperasian itu termasuk langkah proaktif oleh agensi-agensi penguatkuasaan supaya keselamatan serta kebersihan persekitaran dapat diperkukuhkan tanpa sebarang kompromi.

Beliau berkata, MMKN terdahulu mengambil keputusan supaya syarat pengoperasian industri penternakan babi di Selangor diperketatkan berasaskan keutamaan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab supaya tidak memberikan kesan negatif terhadap sistem saliran.

Keputusan katanya diambil setelah mengambil kira kesemua aspek termasuk pandangan agensi teknikal bagi memuktamadkan isu yang berlarutan setelah belasan tahun.

Di samping menjaga sensitiviti masyarakat, inisiatif ini amat penting untuk memelihara keadaan kesihatan komuniti, alam sekitar dan sistem saliran serta mengelakkan pencemaran bau supaya industri ini dapat beroperasi secara lebih selamat tanpa memberi kesan sampingan.

“Sebagaimana diperincikan Exco Infrastruktur dan Pertanian melalui sidang media Khamis lalu, langkah ini adalah inisiatif yang lebih tersusun dalam rangka usaha memastikan isu sensitif ini ditangani secara berhemah, menyeluruh, serta berkesan dalam menangani isu alam sekitar.

Selain turut mengimbangi keperluan komuniti, memperketat aspek kawalan ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang yang lebih sistematik,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan isu penternakan babi di Kuala Langat yang dizahirkan melalui kenyataan media baginda, hari ini.

“Mewakili kerajaan negeri menjunjung tinggi kecaknaan, nasihat serta pedoman Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan mendoakan Tuanku terus dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan untuk terus membimbing dan menaungi negeri ini dengan penuh hikmah,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor murka dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju khususnya apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

Related posts

Leave a Comment