Perkukuh undang-undang lompat parti atau mansuh

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Ketua Whip Bersatu, Dr Ronald Kiandee menggesa Parlimen meneliti, meminda dan memperkukuhkan semula undang-undang lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663).

Dalam kenyataannya, Naib Presiden Bersatu itu berkata, jika Parlimen tidak bersedia atau tidak berani untuk memperbetulkan kelemahan yang ketara ini, maka lebih baik undang-undang tersebut dimansuhkan.

Kenyataan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Bersatu terhadap empat bekas ahli parti yang melompat parti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan kini bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ahli Parlimen itu adalah Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi),  Jonathan Yasin (Ranau) dan  Matbali Musah (Sipitang).

Ronald yang menghormati keputusan mahkamah itu, berkata, penelitian dan pindaan semula perlu bagi memastikan undang-undang dikuat kuasa sejak 2022 itu benar-benar berupaya mengekang pengkhianatan mandat rakyat serta menjamin kestabilan politik yang berteraskan prinsip, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban.

“Keputusan (mahkamah hari ini) secara jelas menafikan semangat dan hasrat sebenar undang-undang antilompat parti, sekali gus menjadikannya tidak berkesan dari segi pelaksanaan.

Sesuatu undang-undang yang gagal menterjemahkan niat, roh dan objektif penggubalannya bukan sahaja lemah, ia juga sekadar menjadi hiasan perundangan tanpa impak sebenar terhadap integriti sistem demokrasi dan mandat rakyat,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Bersatu untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat yang enggan mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah sebagai kosong, yang dimenangi bekas ahli parti itu pada PRU15.

Keputusan majoriti 2-1 dibuat oleh panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hakim Nallini dan Sequerah membentuk majoriti, manakala Hakim Azizah menyampaikan penghakiman berbeza.

Menyampaikan keputusan majoriti, Hakim Nallini berkata, kes berkenaan membabitkan kuasa perlembagaan Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan, yang bersifat tidak boleh diadili (non-justiciable).

Mahkamah perlu menghormati doktrin pengasingan kuasa dan keistimewaan Parlimen, justeru tidak campur tangan dalam kuasa khusus Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan, kecuali jika disalahgunakan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment