Ada ‘komplikasi’ Pas, Hamzah ketuai PN

SEPANG 8 Jan. – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mendakwa terdapat dua komplikasi yang akan dihadapi Perikatan Nasional (PN) jika gabungan itu memilih Pas bagi  menggantikan  Muhyiddin Yassin yang meletak jawaran.

Komplikasi pertama berkait dengan mandat yang diberikan kepada Gerakan dan MIPP untuk mencari undi bukan Melayu untuk PN.

“Saya dimaklumkan wujud kebimbangan di kalangan Gerakan dan MIPP bahawa mereka tidak dapat menunaikan mandat mencari undi bukan Melayu kerana kemungkinan imej PN di mata rakyat akan berubah jika Pas menjadi Pengerusinya.

Benar, sebelum ini ada persoalan mengenai kemampuan dua parti itu menggalas amanah yang diberikan terapi jika imej PN itu sendiri tidak membantu, maka ia seolah-olah kaki dan tangan dua parti ini sengaja diikat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, bagi menyelesaikan komplikasi pertama, ada pihak mencadangkan Hamzah Zainudin dilantik menjadi Pengerusi.

“Hujah mereka,  jika sebelum ini Pas boleh mencadangkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, maka tidak ada masalah jika sekali lagi Pas mencadangkan Hamzah sebagai Pengerusi PN.

Yang penting, calon itu mestilah dinamakan oleh Pas dan jika bukan Hamzah, maka Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pun adalah nama yang disebut-sebut oleh ramai pihak,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya Pas mencadangkan Hamzah, kemungkinan besar Gerakan dan MIPP boleh bersetuju, sekiranya Pas mencadangkan Ahmad Samsuri, perbincangan mengenai imej tetap perlu dirungkaikan dengan harmoni,” katanya.

Bagaimanapun jika Hamzah dicalonkan, ia membawa kepada komplikasi kedua, komplikasi yang dibuat-buat, bukan komplikasi sebenar.

“Komplikasi kedua ini berpunca dari niat busuk dan hasad dengki penjilat Muhyiddin.

Komplikasi kedua itu ialah dalam Bersatu hari ini ada gerakan penjilat-penjilat Muhyiddin yang berhempas pulas mahu menyekat Hamzah.

Mereka mewujudkan pelbagai alasan asalkan Hamzah dihalang, contohnya, mereka meletakkan syarat bahawa Pengerusi PN tak boleh orang selain Presiden parti,” katanya.

Wan Saiful yang dipecat keahliannya dalam Bersatu pada Oktober lalu, berkata ada

juga yang meletakkan syarat, mana-mana pemimpin Bersatu tidak boleh mengambil apa-apa jawatan dalam PN yang bertujuan mengikat tangan Pas dan Hamzah.

“Malahan, sejak beberapa hari kebelakangan ini, ‘penjilat-penjilat’ Muhyiddin juga menyerang Ahmad Samsuri melalui media sosial untuk mewujudkan keraguan terhadap beliau,” katanya.

Beliau menyifatkan komplikasi kedua ini adalah komplikasi palsu, sengaja dicipta oleh ‘penjilat’ Muhyiddin yang memang mahu menyusahkan PN bergerak ke hadapan.

“Sekiranya syarat-syarat yang sengaja mahu menyusahkan ini dibawa ke meja mesyuarat, maka nyatalah bahawa bagi Muhyiddin dan penjilatnya, matlamat mereka ialah jika Muhyiddin tak jadi ketua, biarlah PN itu lemah, hancur dan lingkup.

Apabila PN lemah, lebih mudah pasangan dua sejoli Muhyiddin-Azmin membawa Bersatu kepada Pakatan Harapan,” kata Wan Saiful.

Related posts

Leave a Comment