KUALA LUMPUR 31 Dis. – Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Azhan Md Othman, 57 dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, berkata pelantikan dibuat selaras keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November lalu dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember.
“Pelantikan ini diyakini mampu memperkukuh kepimpinan Tentera Darat Malaysia (TDM) serta meningkatkan keupayaan operasi ATM dalam memenuhi tuntutan pertahanan negara pada masa kini dan hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azhan, anak kelahiran Muar, Johor mula menceburi bidang ketenteraan dengan mengikuti Latihan Pegawai Kadet di Sungai Besi pada 25 Ogos 1987, dilantik menggantikan Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan yang diarahkan bercuti sebelum ini.
Mohamed Khaled turut memaklumkan pelaksanaan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 mengenai pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan.
“Beliau (Muhammad Hafizuddeain) diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang dilaporkan melibatkan beliau,” katanya melalui kenyataan.
Sementara itu, katanya tugas Panglima Angkatan Tentera yang kini kosong susulan persaraan Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, akan dipangku Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, seperti diumumkan pada 27 Disember lalu.
Katanya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) tegas dalam memelihara integriti ATM dan memastikan tugas mempertahankan kedaulatan negara dilaksanakan dengan berkesan.
Terdahulu media melaporkan, Muhammad Hafizuddeain akan bercuti berkuat kuasa serta-merta.
Mohamed Khaled dilapor berkata, langkah itu diambil bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan membabitkan Panglima Tentera Darat.
