Speaker tarik balik mohon PRK 3 DUN

KANGAR 31 Dis.  – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis menarik semula pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung permohonan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Chuping, Guar Sanji dan Bintong, yang sebelum ini diisytihar kosong.

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan, berkata walaupun tidak akan berlaku PRK, ketiga-tiga kerusi berkenaan akan kekal kosong sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Keputusan dibuat selepas mengambil kira perkembangan mutakhir termasuk pendirian Pas selaku parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang memberi jaminan akan terus komited mengekalkan kelangsungan dan kestabilan kerajaan negeri Perlis,” katanya.

Sebelum ini, Rus’sele dilapor menghantar notis pemakluman kepada SPR memaklumkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) tidak layak menjadi anggota Dewan mengikut Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Notis pemakluman turut menyatakan keperluan mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi kekosongan luar jangka selaras Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Rus’sele berkata, selepas Pas mengeluarkan kenyataan media rasmi semalam yang memberi jaminan untuk terus mendukung kerajaan negeri Perlis selaras mandat rakyat pada PRU15, beliau berpandangan kedudukan majoriti ADUN tidak lagi terjejas.

Kenyataan Menteri Besar Perlis yang menegaskan komitmen meneruskan agenda perpaduan PN yang ketika ini masih memiliki majoriti besar iaitu 11 daripada 15 kerusi DUN turut diambil kira dalam pertimbangan semula itu.

“Sehubungan itu, saya mendapati tiada lagi keperluan untuk diadakan pilihan raya semula bagi tiga kekosongan luar jangka berkenaan,” katanya.

Rus’sele menjelaskan, penarikan balik pemakluman mengenai keperluan PRK itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada SPR Perlis semalam, namun kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi terbabit kekal berkuat kuasa sebagaimana surat bertarikh 29 Disember lalu.

“Keputusan terbaharu itu juga sebagai menjunjung titah Raja Perlis agar semua ADUN PN kembali bersatu dan bekerjasama demi kepentingan negeri serta rakyat Perlis,” katanya.

Related posts

Leave a Comment