192 tanding PRU Singapura

SERAMAI 192 calon akan bertanding merebut 93 kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura pada 10 Julai ini selepas proses penamaan calon berakhir hari ini.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut kesemua kerusi ditandingi dalam PRU negara tersebut yang akan melibatkan 17 Konstituensi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan 14 Konstituensi Wakil Tunggal (SMC).

Parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat atau People’s Action Party (PAP) adalah satu-satunya parti yang meletakkan calon di setiap kerusi.

Parti Kemajuan Singapura atau Progress Singapore Party’s (PSP) merupakan parti pembangkang yang menghantar calon paling ramai iaitu  24 diikuti Parti Pekerja atau  Workers’ Party (WP) 21 calon, Parti Demokratik Singapura (SDP) 11 dan Parti Solidariti Nasional dan Suara Rakyat atau People’s Voice, masing-masing 10 calon.

Terdapat beberapa perubahan kawasan yang ditandingi Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat yang berpindah dari kubu kuat di Tampines untuk mengetuai pasukan PAP yang menjadi calon di East Coast GRC. Pasukan Heng akan berdepan cabaran dari pasukan WP

Beliau menggantikan bekas Menteri Tenaga Manusia, Lim Swee Say yang mengumumkan persaraan dari politik. 

Satu lagi perebutan kerusi yang menjadi tumpuan adalah di West Coast GRC di mana pasukan PAP akan berdepan cabaran daripada PSP yang diketuai bekas Ahli Parlimen PAP, Tan Cheng Bock.

Sementara itu, Lee Hsien Yang, adik kepada Perdana Menteri, Lee Hsien Loong tidak dicalonkan di mana-mana kerusi walaupun dilihat berkempen secara aktif sebelum ini.

Dengan berakhirnya proses penamaan calon, ini bermakna lebih 2.6 juta pengundi berdaftar Singapura akan mengundi pada 10 Julai nanti.

Bagi Hsien Loong, ini PRU kali keempat beliau mengetuai PAP sejak menjadi pemimpin parti pada PRU 2006.

Related posts

Leave a Comment