Najib dipenjara 15 tahun denda RM11.38 bilion

PUTRAJAYA 26 Dis. –   Najib Razak, 72 dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan didenda RM11.38 bilion selepas bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Hakim Mahkamah Persekutuan yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi,  Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman pada pukul 9 malam.

Bagi setiap empat tuduhan menggunakan kedudukan, hakim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib dan lima tahun penjara bagi setiap tuduhan pengubahan wang haram, semuanya berjalan serentak.

Bagi pertuduhan pertama, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan denda berjumlah RM303,149,197.15, dengan hukuman penjara tambahan 10 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Untuk tuduhan kedua, beliau dihukum penjara 15 tahun dan denda RM454,499,636.40, dengan hukuman penjara tambahan 10 tahun jika denda tidak dibayar.

Bagi pertuduhan ketiga pula, beliau dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan denda berjumlah RM10,407,384,630, juga dengan hukuman penjara tambahan 10 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Manakala bagi pertuduhan keempat, bekas Presiden UMNO itudihukum penjara 15 tahun dan denda RM222,854,603.50, dengan hukuman penjara tambahan 10 tahun jika denda tidak dijelaskan.

“Kesemua hukuman penjara bagi keempat-empat pertuduhan ini hendaklah berjalan serentak antara satu sama lain. Namun, selaras dengan Seksyen 292 Kanun Tatacara Jenayah, hukuman hanya akan bermula selepas tamat tempoh pemenjaraan yang sedang dijalani oleh tertuduh, iaitu selepas tamat hukuman dalam kes SRC.

“Bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), tertuduh didapati bersalah atas kesemua 21 pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara maksimum lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa denda, dengan hukuman diperintahkan berjalan secara serentak dengan hukuman bagi kesalahan di bawah Akta SPRM.

“Semua hukuman berjalan serentak dan hanya selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

“Ini adalah kerana pertuduhan dalam kes ini dan kes SRC bukan transaksi yang sama dan adalah berasingan,” katanya.

Selain hukuman pemenjaraan dan denda, mahkamah turut memerintahkan Najib memulangkan semua (sum recoverable) RM2,081,476,926 sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 55(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Kegagalan memulangkan jumlah itu, hukuman Najib boleh ditambah lagi dua tahun enam bulan bagi setiap sembilan tuduhan pengubahan wang haram.

Sequerah berkata, beliau membuat keputusan hukuman berkenaan selepas meneliti semua faktor mitigasi yang dikemukakan oleh peguam tertuduh serta faktor pemberat yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan.

Katanya, beliau juga mengambil kira kes yang dirujuk oleh kedua-dua pihak serta prinsip undang-undang yang terpakai di samping mengambil kira pertimbangan utama dalam penjatuhan hukuman, iaitu kepentingan awam, serta prinsip pencegahan (deterrence).

Beliau uga meneliti latar belakang tertuduh termasuk fakta dan tempoh perkhidmatan awamnya, serta faktor-faktor mitigasi lain secara keseluruhan.

Sementara itu, hakim turut merekodkan bahawa Najib tidak memohon bagi penangguhan hukuman, bagaimanapun dengan kebebasan berbuat demikian pada masa hadapan.

Najib, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya  Ahmad Akram Gharib dan Datuk Kamal Baharin Omar, dibantu oleh Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.

Najib diwakili oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, dibantu oleh  Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.

Bekas Perdana Menteri itu pertama kali didakwa pada 20 September 2018, dan perbicaraan bermula hampir setahun kemudian, pada 28 Ogos 2019, sebelum pihak pendakwa menutup kesnya pada 30 Mei 2024.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu berlangsung selama tujuh tahun, menarik perhatian antarabangsa, membabitkan 50 saksi dan sembilan hari hujahan lisan pada peringkat pendakwaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment