ISTANBUL – Organisasi perundangan Al-Baidar mendakwa, kumpulan pendatang haram Israel merampas tanah Palestin dengan meluaskan sebuah pos penempatan haram di bandar Nablus di bahagian utara Tebing Barat yang diduduki.
Dalam satu kenyataan, Al-Baidar berkata, kumpulan berkenaan menambah rumah pasang siap di sebuah pos penempatan haram yang didirikan di Gunung Qarqafa, antara pekan Aqraba dan Jurish, di tenggara Nablus.
Langkah berkenaan “merupakan kesinambungan peluasan pos penempatan haram di atas tanah Palestin, sekali gus meningkatkan ancaman terhadap komuniti Palestin di kawasan berkenaan serta secara langsung mengancam hak tanah dan harta milik rakyat Palestin.”
Warga Israel yang merampas tanah Palestin turut menebang kira-kira 150 pokok zaitun milik penduduk Palestin di timur Al-Khalil.
Kumpulan itu lazimnya terlebih dahulu mendirikan pondok sementara yang diperbuat daripada pelbagai bahan di kawasan yang dirancang untuk dijadikan pos “penempatan haram”, kemudian memagari kawasan berkenaan dan membina jalan akses.
Walaupun pos-pos berkenaan turut dianggap haram oleh pihak berkuasa Israel, banyak daripadanya kemudian diubah menjadi penempatan Yahudi selepas suatu tempoh tertentu.
Menurut angka yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, serangan oleh warga Israel yang merampas tanah Palestin di Tebing Barat yang diduduki mencapai tahap tertinggi dalam tempoh 20 tahun.
Sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada Oktober 2023, turut berlaku peningkatan penahanan, serbuan dan serangan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat serta Baitulmuqaddis Timur.
Dianggarkan kira-kira 451,000 pendatang Yahudi di Tebing Barat dan sekitar 230,000 di Baitulmuqaddis Timur kini tinggal di atas tanah Palestin yang dirampas.
Di bawah undang-undang antarabangsa, rampasan tanah dianggap haram.
ISTANBUL – Pihak berkuasa Turkiye mendakwa serbuan besar-besaran di 124 lokasi sekitar bandar itu, berjaya menahan lebih 100 individu yang disyaki anggota kumpulan Daish sekaligus menggagalkan rancangan serangan terhadap acara Krismas dan sambutan tahun baharu.
Menurut pejabat pendakwa raya Istanbul, serbuan itu turut merampas senjata api, peluru dan “dokumen organisasi.”
Pegawai keselamatan memaklumkan, penyokong Daish aktif merancang serangan di seluruh Turkiye minggu ini, khususnya terhadap golongan bukan Islam dan setakat
ini, polis menahan 115 suspek, manakala usaha mengesan 22 lagi masih diteruskan.
Pendakwa raya berkata, kesemua suspek dipercayai mempunyai hubungan dengan anggota Daish di luar Turkiye.
Pengumuman itu dibuat dua hari selepas ejen perisikan Turkiye melancarkan serbuan terhadap kumpulan berkenaan di sempadan Afghanistan-Pakistan.
Seorang warga Turkiye yang didakwa memegang jawatan kanan dalam sayap Daish di rantau itu turut ditahan dan dituduh merancang serangan terhadap orang awam.
Perkhidmatan keselamatan Turkiye secara berkala menyasarkan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan Daish.
Negara itu berkongsi sempadan sepanjang 900 kilometer dengan Syria, di mana kumpulan berkenaan masih beroperasi di beberapa kawasan.
Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa yang mempunyai hubungan rapat dengan Ankara berikrar bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan Eropah untuk membanteras baki elemen Daish.
Amerika Syarikat pula melancarkan siri serangan udara terhadap kedudukan Daish di Syria pada Jumaat, susulan insiden pembunuhan tiga rakyat Amerika – dua anggota tentera dan seorang jurubahasa awam – dalam serangan hendap awal bulan ini.
