BAITULMUQADDIS – Israel merobohkan kediaman empat tingkat di Baitulmaqdis Timur, yang dilakukan secara tergesa-gesa pada tengah malam menyebabkan puluhan penduduk hilang tempat tinggal.
Bangunan berkenaan yang terletak di kejiranan Silwan berhampiran Kota Lama, mengandungi kira-kira 12 unit pangsapuri yang menempatkan sekitar 100 penduduk, kebanyakannya wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Bangunan itu adalah yang terbaharu dalam siri struktur kediaman dimusnahkan ketika pegawai Israel menyasarkan pembinaan tanpa kebenaran di bahagian timur bandar.
Ia adalah sebahagian kempen regim Yahudi yang disifatkan pegawai tempatan Palestin sebagai dasar sistematik untuk mengusir penduduk.
Tiga jentolak mula merobohkan struktur itu semalam ketika penduduk hanya mampu melihat, dengan pakaian serta barangan peribadi mereka berselerakan di jalan-jalan berhampiran.
Menjelang tengah hari, sebahagian besar bangunan itu sudah diratakan.
Aktivis berkata, struktur yang dibina di atas tanah milik persendirian Palestin itu dijadualkan untuk dirobohkan kerana tidak mempunyai permit pembinaan.
Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Israel, Ir Amin dan Bimkon, menyifatkan operasi itu sebagai yang terbesar dilakukan pada 2025, sambil menambah dalam satu kenyataan bahawa sekitar 100 keluarga di Baitulmuqaddis Timur kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu, Gabenor Baitulmaqdis yang bernaung di bawah Pihak Berkuasa Palestin (PA) berpangkalan di Ramallah, berkata pemusnahan bangunan itu adalah sebahagian daripada dasar sistematik yang bertujuan mengusir penduduk Palestin secara paksa dan mengosongkan bandar daripada penduduk asalnya.
Majlis Perbandaran Baitulmuqaddis, yang mentadbir kedua-dua bahagian barat dan timur bandar itu, sebelum ini berkata operasi dijalankan bagi menangani pembinaan haram serta membolehkan pembangunan infrastruktur atau kawasan hijau.
Menurut Majlis itu, bangunan yang dirobohkan di Silwan dibuat berdasarkan perintah mahkamah pada 2014, dan tanah yang menempatkan struktur itu dikhaskan untuk kegunaan rekreasi dan sukan, bukan kediaman.
Namun, aktivis menuduh pihak berkuasa Israel kerap mengklasifikasikan kawasan di Baitulmaqdis Timur sebagai taman negara atau ruang terbuka bagi memajukan kepentingan penempatan Israel.
NNn
