SEPANG 22 Dis. – Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib Razak untuk tahanan rumah mencetuskan pelbagai reaksi yang menyaksikan pimpinan UMNO sedih dan marah manakala ada pimpinan DAP ‘menyambut baik’.
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi melalui Facebooknya memuat naik peringatan ringkas dalam nada amaran dengan latar belakang berwarna merah yang berbunyi “Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak,”.
Bagaimanapun, hantaran Zahid tidak menyebut sebarang nama kenyataan itu ditujukan.
Semalam Zahid dalam kenyataannya berharap Najib diberikan pengampunan dan sebagai sahabat sejati, beliau sentiasa mendoakan agar bekas Perdana Menteri itu diberikan keampunan pada masa yang sesuai.
“Saya dan kita semua tidak sanggup melihat Datuk Seri Najib terus meringkuk di dalam penjara. Namun, kuasa mutlak memberi pengampunan adalah hak Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan ia tidak seharusnya dipertikaikan,” katanya.
Di pihak DAP pula, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin menerusi Facebooknya mencadangkan keputusan mahkamah itu sebagai satu lagi sebab untuk diraikan ketika tahun 2025 menghampiri penghujungnya.
Manakala ADUN DAP Ayer Keroh Kerk Chee Yee menunjukkan tanda isyarat bagus di Facebooknya beserta keratan laporan portal berhubung keputusan mahkamah itu.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh dengan nada yang lebih keras menggesa partinya meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan mahu akar umbi menyuarakan hasrat itu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bulan depan.
“ Datang dan suarakan suara akar umbi Melayu, kalau nak kata keluar kerajaan, di sinilah PAU sebagai medan keramat orang Melayu untuk gegarkan satu Malaysia pada kali ini,” katanya menerusi video di Facebooknya.
Katanya, bagi UMNO, berita berkaitan keputusan mahkamah itu amat sedih tetapi lebih sedih keputusan ini didakwa mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu.
“Apa guna kita pemimpin Melayu Islam tetapi hari ini kita lihat sahaja kuasa Raja Raja Melayu kita semakin terhakis dan juga semakin dikurangkan
Dan ketika ramai orang UMNO sedang bersedih, rupa-rupanya ada pemimpin DAP yang tengah bersuka ria. Tak apa kamu nak suka, tak ada masalah tapi bila kamu post secara publik maksudnya kamu menghina kami orang UMNO.
Jadi saya minta orang UMNO daripada peringkat cawangan mahupun sampai ke peringkat atas, kita ajar mereka ini, kita tarik sokongan daripada mereka biar kita duduk jadi pembangkang yang bermaruah,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan yang ada sekarang tidak akan jatuh sebaliknya masih kekal jika UMNO menarik balik sokongan.
“Biar kita jadi pembangkang, yang penting kita ada maruah, dan maruah ini perlu dipertahankan,” katanya.
Pada masa yang sama, Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan kenyataan Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusian.
Tegasnya, jika wakil rakyat itu tidak mampu untuk menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekalipun, tidak perlulah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.
“Apatah lagi yang dihina merupakan bekas pemimpin tertinggi yang amat disayangi oleh seluruh keluarga besar UMNO yang hari ini membantu membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi Facebook.
Justeru, beliau menegaskan, mungkin sudah tiba masanya untuk UMNO memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan UMNO selama ini.
Nnnnn
