Kematian tokoh gerakan belia cetus protes

DHAKA – Kematian Sharif Osman Hadi, tokoh utama gerakan belia yang menjatuhkan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, mencetuskan gelombang protes dan serangan terhadap media.

Keganasan meletus di beberapa bandar utama Bangladesh selepas Hadi, 32, ditembak penyerang bertopeng ketika keluar dari sebuah masjid di Dhaka minggu lalu dan meninggal dunia akibat kecederaan pada Khamis ketika menerima rawatan di Singapura.

Serangan itu berlaku sehari selepas pihak berkuasa Bangladesh mengumumkan tarikh pilihan raya pertama sejak kebangkitan rakyat pada 2024, pilihan raya yang dirancang Hadi untuk sertai sebagai calon bebas.

Berita kematiannya mencetuskan kemarahan penyokongnya, dengan ratusan orang berkumpul di sebuah dataran di ibu negara untuk mengadakan protes.

Tidak lama kemudian, penunjuk perasaan bertindak merosakkan pejabat dua akhbar utama negara, The Daily Star dan Prothom Alo, dengan salah satu bangunan dibakar.

Tentera dikerahkan ke lokasi kejadian, manakala pasukan bomba menyelamatkan wartawan yang terperangkap di dalam bangunan.

Hadi merupakan pemimpin kanan kumpulan pelajar Inqilab Mancha dan pengkritik lantang terhadap India, negara di mana Hasina kini hidup dalam buangan selepas digulingkan.

Ketua kerajaan sementara, penerima Hadiah Nobel Muhammad Yunus, menyifatkan kematian Hadi sebagai “kehilangan yang tidak terganti bagi negara”.

“Perjalanan negara menuju demokrasi tidak boleh dihentikan dengan ketakutan, keganasan atau pertumpahan darah,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung,” katanya yang  turut menyifatkan serangan itu sebagai tindakan terancang untuk menggagalkan pilihan raya.

“Tiada bentuk keganasan yang bertujuan mengganggu pilihan raya akan dibenarkan,” tegasnya.

Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos tahun lalu selepas protes pelajar yang berpanjangan menamatkan 15 tahun pemerintahannya yang semakin autoritarian.

Pada November, beliau dijatuhi hukuman mati atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk membenarkan penggunaan kekerasan maut terhadap penunjuk perasaan yang mengorbankan lebih 1,400 orang.

Kematian Hadi turut mendapat reaksi daripada pelbagai parti politik Bangladesh yang menggesa kerajaan sementara agar membawa pelaku ke muka pengadilan.

Kerajaan sementara juga mengisytiharkan hari Sabtu sebagai hari berkabung nasional sementara siasatan masih dijalankan di mana beberapa individu telah ditahan berhubung insiden tembakan tersebut.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment