Oleh Tan Sri Noh Omar
PELANTIKAN menteri baharu bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam rombakan Kabinet semalam menimbulkan kejutan persoalan dalam kalangan usahawan Bumiputera.
Sebagai bekas Menteri yang pernah dua kali menerajui kementerian iaitu pada 2008 dan 2021, saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman dan menyatakan pandangan demi kepentingan masa depan usahawan Bumiputera.
Matlamat utama KUSKOP adalah jelas iaitu memperkasa usahawan Bumiputera, membangunkan ekosistem keusahawanan negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan menjelang 2030.
Fokus ini diterjemahkan melalui pemerkasaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), peningkatan sumbangan usahawan Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta pelaksanaan program latihan, pembiayaan dan pembangunan kemahiran berteknologi tinggi, selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PUTERA35).
Sepanjang saya menerajui kementerian ini, KUSKOP (dahulunya MECD) diperkukuh dengan pelbagai agensi strategik seperti TEKUN Nasional, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institute Koperasi Malaysia, Universiti Keusahwanan Koperasi Malaysia,UDA Holdings ,INSKEN dan Amanah Ikhtiar yang majoritinya memberi manfaat langsung kepada usahawan dan koperasi Bumiputera, khususnya golongan mikro kecil dan sederhana.Puast Khidmat Kontraktor ( PKK ) yang bertanggungjawab memberi penarafan taraf Bumiputera juga d bawah KUSKOP.
Usaha ini dibina secara konsisten demi memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera terus terpelihara.
Namun, penyerahan portfolio KUSKOP kepada seorang Menteri daripada DAP, sebuah parti yang memperjuangkan kesamarataan dan sering mempertikaikan prinsip Dasar Ekonomi Baru (DEB) menimbulkan persoalan untuk membela nasib PMKS Bumiputra.
Persoalan yang timbul adakah semangat asal kementerian ini akan terus dipertahankan?
Adakah akan berlaku perubahan dasar secara senyap atas dasar “kesamarataan baharu”?
Adakah pelantikan ini sebahagian daripada kompromi politik dalam Kerajaan Perpaduan?
Kita tidak menuduh sesiapa, namun kita juga tidak boleh berdiam diri. Amanah dan perjuangan yang dibina sejak puluhan tahun atas nama DEB dan agenda Bumiputera tidak boleh diketepikan semata-mata kerana keperluan politik semasa.
Rakyat berhak mendapatkan jaminan bahawa dasar, fungsi dan roh KUSKOP akan terus kekal selari dengan matlamat asal penubuhannya.
Saya berharap kerajaan memberi penjelasan yang tuntas dan komitmen yang jelas bahawa agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera, koperasi dan PMKS akan terus diperkukuh, bukannya dikaburkan kerana masa depan ekonomi Bumiputera adalah sebahagian daripada kestabilan dan kemakmuran negara.
Nnnn
