SEPANG 18 Dis. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan penyusunan semula Kabinet Madani sebagai ‘Kabinet Bendera Putih’ yang menyerah jiwa dan raga demi mengekalkan kedudukan seorang Perdana Menteri yang parti sendiri tidak memiliki majoriti.
Presidennya, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali mendakwa, apa yang berlaku bukan rombakan pentadbiran tetapi penyerahan kuasa secara sukarela dan terbuka yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sesebuah bangsa.
Beliau berkata, persoalan sebenar bukan siapa yang dilantik, tetapi siapa yang memberi arahan dan siapa yang tunduk.
“Fakta asasnya mudah, DAP mengugut, dan Kabinet berubah. Tiada kebakaran, tiada bencana nasional, tiada krisis mendesak. Yang ada cuma ancaman politik, dan ancaman itu terus dibayar dengan kementerian strategik.
Kementerian Wilayah Persekutuan, yang mengawal ibu kota Kuala Lumpur dan Putrajaya, jatuh dengan mudah seperti jatuhnya Sultan Melaka suatu ketika dahulu,” katanya yang turut menarik perhatian kedudukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menguasai bandar-bandar dan majlis daerah.
Beliau merujuk pelantikan Hannah Yeoh dari DAP sebagai Menteri Wilayah Persekutuan manakala timbalannya Lo Su Fui (GRS) sementara Nga Kor Ming kekal di KPKT.
Ibrahim juga menarik perhatian mengenai pengguguran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa tanpa sebarang “kad merah”, sebaliknya mereka yang didakwanya memiliki “kad merah” dikekalkan walaupun prestasi tidak baik dan sarat dengan kontroversi.
“Tahniah kepada Menteri Pendidikan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Menteri Pelancongan. Anda bertiga memang hebat luar biasa,” sindir Ibrahim..
Beliau juga menuntut Perdana Menteri menjelaskan mengapa setiap kali DAP meninggikan suara, kerajaan didakwa segera tunduk dan menyusun kuasa mengikut nafsu DAP.
“Hari ini Kabinet berubah kerana DAP mengugut. Esok dasar berubah kerana tekanan. Lusa, kepentingan nasional dikompromi atas nama “kestabilan”. Negara yang ditadbir dengan rasa takut akan sentiasa menggadaikan masa depan untuk menyelamatkan hari ini.
“Lebih memalukan, UMNO parti yang kononnya pejuang Melayu, membisu seperti penonton, memilih senyap apabila kementerian yang mengawal ekonomi rakyat bawahan, perumahan, wilayah dan usahawan Melayu berpindah tangan.
Dalam politik, diam bukan kebijaksanaan. Diam ialah persetujuan pengecut,” katanya sambil membangkitkan kedudukan Timbalan Presiden UMNO yang berpengalaman dalam ekonomi hanya diberi peranan sebagai Menteri Luar.
Ini kerana dakwa Ibrahim, Presiden UMNO takut dicabar oleh Timbalannya sendiri.
Ibrahim juga mengingatkan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, bahawa orang Melayu tidak bodoh sebaliknya melihat, menyimpan dan mengingati.
“Kesabaran bukan keampunan.Sejarah pilihan raya tidak ditulis oleh sidang media, tetapi oleh ingatan pengundi yang pernah dikhianati.
Sejarah negara ini kejam terhadap pemimpin yang mengekalkan kuasa dengan menjual prinsip. Mereka mungkin kekal seketika, tetapi akhirnya akan kehilangan kuasa dan maruah. Ini bukan ugutan. Ini rekod sejarah yang berulang,” kata Ibrahim.
Ibrahim juga menegaskan kepada orang Melayu sama ada dalam UMNO, PH dan mana-mana parti, bahawa meninggalkan keluar daripada kepemimpinan yang menipu bukan pengkhianatan, tetapi pembetulan.
Pihak yang khianat ialah mereka yang menjadikan kesetiaan sebagai perisai untuk menyelamatkan kerusi sendiri.
“Putra tidak bertanya dari parti mana anda datang, tetapi berapa lama lagi anda sanggup ditipu atas nama disiplin dan kesetiaan palsu. Pintu parti lain terbuka luas, bukan untuk pelarian politik, tetapi untuk Melayu yang sedar, berani dan enggan terus diperalat.
Dalam Putra, anda tidak diminta membuang prinsip lama, sebaliknya mengambil semula prinsip yang telah dicuri oleh pemimpin anda sendiri,” tegas Ibrahim.
Nnnn
