Jawatan Kabinet ‘bunga emas’ politik?

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Pas bimbang dengan persepsi meluas yang mengatakan pelantikan dalam rombakan Kabinet semalam dibuat tidak berlandaskan merit atau keperluan dasar sebaliknya susulan tekanan dan tawar menawar politik.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, Pas turut mengambil perhatian tentang spekulasi bahawa rombakan Kabinet itu berkait rapat dengan kata dua politik oleh DAP.

Ia termasuk ancaman parti itu untuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya beberapa tuntutan termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah-sekolah persendirian Cina tidak dipenuhi.

“Pas beranggapan sekiranya jawatan Kabinet digunakan sebagai ‘bunga emas’ politik untuk mengekalkan sokongan dan kesetiaan mana-mana pihak maka jelas bahawa ia merupakan hakisan serius terhadap idea dan institusi kerajaan berprinsip, sekali gus melemahkan integriti proses pembentukan serta penggubalan dasar negara,” katanya.

Takiyuddin merujuk khususnya pelantikan Hannah Yeoh dan Datuk Lo Su Fui sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan selain pengekalan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di tangan seorang lagi pemimpin DAP, Nga Kor Ming, yang kebetulan mereka berlatar belakang etnik yang sama.

“Perlu ditegaskan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukanlah wilayah atau portfolio biasa sebaliknya ia mewakili ‘jantung politik dan pentadbiran negara’,” katanya.

Sehubungan itu, ujarnya, pemusatan pentadbiran strategik bandar, kerajaan tempatan, perumahan dan pihak berkuasa tempatan di tangan pemimpin daripada sebuah parti dan etnik boleh menimbulkan persoalan besar, sah dan tidak dapat dielakkan.

Ia jelas beliau, khususnya berkait isu-isu ketidakseimbangan dan pemusatan kuasa melampau serta hala tuju sebenar pentadbiran negara.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu, turut menyuarakan kebimbangan bahawa rombakan berkenaan dilihat sebagai percaturan untuk mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama lain, sekali gus membolehkan sesebuah parti membentuk dasar perbandaran, penggunaan tanah, perumahan dan kerajaan tempatan tanpa semak dan imbang yang berkesan serta telus.

Tegasnya, pemusatan kuasa sedemikian berpotensi menimbulkan keresahan awam, terutama dengan cadangan inisiatif undang-undang kontroversi seperti Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) yang didakwa boleh meminggirkan kelompok tertentu di bandar, khususnya orang Melayu dan golongan berpendapatan rendah, termasuk risiko kehilangan hak milik.

Takiyuddin berkata, pendekatan pentadbiran yang dilihat mengutamakan kepentingan politik elit bandar sambil mengabaikan sentimen rakyat akar umbi berisiko melebarkan jurang perpecahan dalam masyarakat serta menyumbang kepada kelunturan kesatuan kebangsaan.

Dalam pada itu, tambah Takiyuddin, Pas juga mendapati pelantikan beberapa menteri dan timbalan menteri lain turut menimbulkan keraguan serius berkait isu-isu kekananan, pengalaman, kompetensi, ketrampilan, kredibiliti dan kesesuaian

“Ia bukanlah lantikan ke jawatan dan peranan upacara tetapi merupakan portfolio penting sama ada melibatkan kepentingan generasi muda, ekosistem pendidikan mahupun hal-ehwal Islam dan sebagainya yang menuntut kematangan, kedewasaan dan kebolehan yang terbukti.

“Tanpa justifikasi meyakinkan bagi menyokong rombakan Kabinet dan pelantikan yang dibuat akan hanya memperkuatkan tanggapan bahawa kedudukan dalam Kabinet telah diagih-agihkan mengikut selera dan nafsu politik bukan kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Takiyuddin menegaskan kepemimpinan bukan sekadar mengatur bilangan anggota bagi mengekalkan kuasa, sebaliknya berkait rapat dengan amanah, kebijaksanaan dan tanggungjawab terhadap rakyat.

Katanya , rombakan Kabinet sepatutnya memulihkan keyakinan rakyat, bukan menyuburkan keraguan; menyembuh luka bukan menggaraminya; merapatkan retak, bukan menambah belah; menggala bocor bukan menebuk lunas.

“Ia juga mesti menggambarkan kemajmukan masyarakat kita melalui perwakilan yang adil dan berkesan serta pelantikan berdasarkan merit, kedewasaan dan pandangan jauh,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment