SEMENYIH 14 Dis. – Keluar tanpa jalan pulang! Itu mesej Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi kepada parti komponennya yang mahu meninggalkan gabungan itu.
Beliau mengingatkan parti-parti komponen dalam BN agar tidak menyesal sekiranya keluar gabungan parti itu kerana BN tidak akan menerima mereka kembali.
Tanpa menyebut mana-mana parti secara khusus namun kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada MIC yang kini berdepan ketegangan hubungan dalam gabungan berkenaan.
Untuk rekod komponen BN ketika ini terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan PBRS di mana dua daripadanya iaitu MCA dan MIC adalah antara pengasas gabungan itu yang wujud pada 1974, menggantikan Perikatan.
Ahmad Zahid berkata, sejarah persahabatan dan kesetiaan lebih tujuh dekad seharusnya dihargai dan tidak diketepikan hanya kerana wujud rasa tidak puas hati atau ‘kemabukan kuasa’.
“Jangan buat keputusan hanya kerana ‘mabuk kuasa’ dan tanpa mengira kita adalah kawan lebih dari 70 tahun. Saya bimbang ada pihak yang akhirnya berada dalam keadaan gantung tidak bertali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) di Setia Ecohill hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan, politik bukan medan untuk membuat keputusan ketika marah, sedih atau terdesak sebaliknya memerlukan kesabaran dan pertimbangan rasional kerana landskap politik sentiasa berubah.
Dalam masa sama, beliau turut menyindir ada ‘pihak’ tertentu yang sebelum ini enggan mendekati Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani, namun selepas kerajaan itu stabil, kemudian mendakwa kononnya mereka dipinggirkan serta dianaktirikan.
Sementara itu pada sidang media, ketika ditanya sama ada MIC ada menghantar sebarang resolusi untuk meninggalkan BN, beliau belum menerima apa-apa resolusi.
“Saya tidak nampak apa-apa resolusi ataupun surat dan tentu kita tidak membuat sebarang keputusan tetapi kalau mereka tidak dapat membuat keputusan, kita akan membuat keputusan,” katanya
Ahmad Zahid turut memberitahu, kedua-dua pihak tidak mengadakan sebarang pertemuan pasca Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC yang lalu.
Dalam AGM pada bulan lalu itu, perwakilan MIC sebulat suara bersetuju meluluskan usul untuk keluar daripada BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, para perwakilan turut bersetuju keputusan muktamad berhubung perkara itu ditangguhkan sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) akan datang, bagi memberi ruang kepada kepimpinan tertinggi parti membuat pertimbangan menyeluruh.
Nnnn
