Setakat ini, MIC masih bersama BN

TAPAH 14 Dis. – MIC setakat ini akan kekal dalam komponen Barisan Nasional (BN) sehingga satu keputusan muktamad dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada satu mesyuarat yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Presiden,  M Saravanan, berkata kepemimpinan tertinggi parti akan membincangkan hala tuju politik MIC, termasuk mengenai kemungkinan menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Sehingga keputusan dibuat, kami masih kekal bersama BN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Komputer Riba kepada 50 pelajar universiti awam dan swasta di pejabat Bahagian MIC Tapah, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, mesyuarat itu kemungkinan akan diadakan awal tahun depan, mungkin pada Januari, memandangkan Presiden parti baru pulang dari luar negara dan notis dua minggu diperlukan.

Pada Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC yang lalu, perwakilan sebulat suara bersetuju meluluskan usul untuk keluar daripada BN.

Bagaimanapun AGM memberikan mandat penuh kepada Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan CWC untuk melaksanakan langkah serta urusan rasmi berkaitan perkara ini.

Mengulas kenyataan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi bahawa mana-mana parti yang meninggalkan BN tidak akan diterima masuk semula, Saravanan bersetuju dengan pendirian itu.

“Apa yang beliau (Zahid) katakan adalah betul. Mana-mana parti yang keluar daripada BN, keluar buat selama-lamanya dan tidak akan kembali. Saya bersetuju dengan kenyataan beliau,” katanya.

Saravanan juga berkata, sebarang keputusan mengenai masa depan MIC akan dibuat secara kolektif oleh kepemimpinan tertinggi parti dan bukan secara individu.

Saravanan juga berkata, setakat ini tiada maklum balas daripada surat yang dihantar kepada PN memandangkan MIC sudah menjelaskan bahawa sebarang keputusan hanya akan diambil selepas mesyuarat CWC.

NNNN

Related posts

Leave a Comment