GAZA – Hamas meminta pengantara memberi tekanan kepada Israel supaya menyelesaikan pelaksanaan fasa pertama gencatan senjata selepas mendakwa rejim itu melanggar perjanjian gencatan senjata sekurang-kurangnya 738 kali sejak ia berkuat kuasa pada Oktober lalu.
Pegawainya, Husam Badran, berkata, gencatan senjata tidak boleh diteruskan selagi Israel terus melanggar perjanjian berkenaan dan mengelak daripada menunaikan komitmennya.
Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu memberi tumpuan kepada pertukaran tawanan yang ditahan di Gaza dengan tahanan Palestin di penjara Israel, serta pengunduran sebahagian pasukan Israel dari Gaza.
Bagaimanapun, butiran untuk fasa seterusnya termasuk urus tadbir masa depan Gaza, kemungkinan penempatan pasukan penstabilan antarabangsa, dan pembentukan apa yang digelar sebagai “lembaga keamanan” (board of peace), masih belum diselesaikan.
Sementara itu, kemarahan rakyat Palestin dan masyarakat antarabangsa meningkat berikutan Israel terus melancarkan serangan udara dan bedilan artileri di kawasan Khan Younis yang masih berada di bawah kawalannya.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan Israel sejak bermulanya gencatan senjata menyebabkan sekurang-kurangnya 377 orang terbunuh dan 987 cedera.
Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS), memberitahu Al Jazeera Arabic bahawa rundingan gencatan senjata ke peringkat seterusnya sedang bergerak ke hadapan, namun masih terdapat halangan utama yang perlu diatasi.
Pegawai itu, berkata Washington menjangka penempatan pertama pasukan penstabilan antarabangsa bermula awal 2026.
Ketika ini, perbincangan tertumpu kepada negara mana yang akan menyertai pasukan itu, bagaimana ia akan dikendalikan, dan peraturan pembabitan tenteranya.
Pegawai itu juga berkata, pelan gencatan senjata yang disokong AS dan disahkan oleh Majlis Keselamatan PBB secara jelas menetapkan pengunduran penuh Israel dari Gaza serta pelucutan senjata Hamas.
Beliau menambah bahawa rundingan sedang dijalankan untuk menubuhkan pasukan polis yang direkrut daripada penduduk tempatan Gaza.
