KUALA LUMPUR 8 Dis. – Sempena pembukaan perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke JB Sentral bermula Jumaat ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun istimewa sebanyak 30 peratus hingga 11 Januari depan.
KTMB dalam kenyataan hari ini berkata, tawaran diskaun itu membabitkan perjalanan bagi sektor KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral.
Menurut Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin, penumpang boleh menikmati tawaran itu dengan menggunakan kod promosi JBBEST ketika pembelian tiket.
Katanya, sebanyak 5,000 kod promosi ditawarkan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Katanya, kemudahan pengangkutan awam itu bukan saja memudahkan mobiliti harian, malah menyokong pertumbuhan industri pelancongan dan ekonomi Johor dengan menarik lebih ramai pelancong, termasuk dari Singapura.
Beliau berkata, pelaksanaan perkhidmatan ini tepat pada masanya menjelang musim cuti sekolah dan penghujung tahun, ketika rakyat Malaysia mengambil peluang bercuti ke Johor, manakala rakyat Johor pula menikmati perjalanan mudah ke destinasi luar negeri melalui sambungan tren ETS.
Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau mesin kios KTMB bagi kemudahan pelanggan.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi KTMB atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.
KTMB turut memaklumkan pengoperasian berkenaan menandakan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB), membabitkan pembinaan jajaran sepanjang 192 kilometer serta 11 stesen, sudah disiapkan mengikut jadual.
Nnnn
