SEPANG 5 Dis. – Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin mengesahkan beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung kes projek usahasama ternakan lembu kerajaan negeri Kedah.
Beliau yang sebelum ini dikatakan akan menjadi saksi dimaklumkan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, pukul 8.30 pagi Isnin ini bersama dua lagi individu.
Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosialnya hari ini, Azman mempersoalkan tindakan SPRM menukar statusnya daripada saksi kepada tertuduh.
Katanya, beliau sebelum ini hadir ke pejabat SPRM Kedah pada 25 Mac lalu untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan projek fidlot di bawah Kedah Agro.
Bagaimanapun beliau menerima arahan mengejut pagi semalam untuk bertemu pegawai penyiasat di R&R Sungai Buloh arah utara dan kemudiannya diarah ke pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Katanya, pertukaran status sajsi kepada didakwa terlalu drastik dan percaya ada unsur pengaruh politik untuk mencemarkan imejnya sebagai wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).
Azman menjelaskan walaupun tidak bersetuju dengan cara penahanan itu dibuat, beliau tetap akan hadir pada pukul 8.30 pagi untuk mendengar pertuduhan dan mempertahankan dirinya di mahkamah.
“Saya bersedia hadapi tuduhan ini. Kita akan lawan ikut saluran undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Azman mendakwa tindakan terhadapnya berlaku hanya beberapa hari selepas beliau membangkitkan isu integriti membabitkan bekas setiausaha politik kanan Perdana Menteri.
“Selepas saya bangkitkan perkara itu, saya pula yang ditahan,” katanya yang menyifatkan sebagai pendakwaan terpilih.
Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan seorang ahli Parlimen susulan aduan diterima pada 10 Februari lalu, dengan siasatan membabitkan 15 saksi yang sudah dipanggil bagi membantu siasatan kes projek ternakan lembu berkenaan.
Nnn
