Musim tengkujuh punca harga sayur naik

SERDANG 3 Dis. – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak menafikan peningkatan harga sayur sehingga 50 peratus seperti dilaporkan baru-baru ini berpunca daripada musim tengkujuh yang melanda negara.

Katanya, kerajaan akan cuba mencari jalan untuk menyeimbangkan harga mengikut kepuasan pengguna dan juga penjual.

“Kadang-kadang pada musim tengkujuh, misalnya yang berlaku di kawasan Utara Semenanjung, harga sayur akan sedikit meningkat. Apabila musimnya kembali pulih, ia akan kembali seperti biasa.

“Harga sayur turun naik dari semasa ke semasa, termasuk juga sayuran import daripada luar negara. Justeru, kerajaan akan cuba mencari jalan untuk menyeimbangkan harga mengikut kepuasan pengguna dan juga penjual,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan akan segera menyalurkan bantuan kepada petani yang terjejas akibat banjir selepas mendapat angka sebenar menerusi bancian kemusnahan pertanian mereka.

Beliau menjelaskan, bantuan yang akan disalurkan melalui Tabung Bencana Pertanian 2025 berjumlah RM25 juta itu bergantung kepada keadaan semasa dan tidak mengambil pendekatan ‘one-off’.

“Tabung bencana ini bergantung kepada keadaan semasa dan dari musim ke musim. Kita tidak mengambil pendekatan ‘one-off’ untuk satu tahun saja. Seperti sekarang, banjir yang berlaku baru saja surut di Kedah dan penyaluran bantuan, InsyaAllah, akan dibuat dalam beberapa hari lagi,” katanya.

Mohamad berkata, selepas pihaknya memperoleh angka sebenar, agensi itu seterusnya menggunakan tabung bencana berkenaan bagi membantu petani yang layak.

“Buat masa ini, pengesahan jumlah negeri (dan kerosakan sebenar) yang terjejas masih belum ada. Kementerian akan turun ke lapangan selepas banjir surut. Bagi banjir terbaru, data masih belum diperoleh,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment