PUTRAJAYA 3 Dis. – Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan, pelantikan semula sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua adalah sebagai tanggungjawab untuknya meneruskan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara sebagai Menteri Pendidikan Tinggi (KPT)
Zambry turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang melanjutkan tugas beliau sebagai senator sehingga 2 Disember 2028.
“Saya menganggap ini satu tanggungjawab yang perlu diteruskan,” katanya kepada media mengulas upacara angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Awang Bemee Awang Ali Basah.
Selain Zambry, turut mengangkat sumpah untuk penggal kedua adalah Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Sementara itu, Zambry turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencalonkan namanya untuk meneruskan tugas sebagai anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Anwar dalam kenyataannya memaklumkan, senarai Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Madani akan diputuskan kelak selepas proses pertimbangan yang cermat, berhemah dan benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara.
Terdapat tiga kekosongan dalam Kabinet iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRESS) dan Kementerian Ekonomi.
Nnnn
