PUTRAJAYA 19 Nov. – Harga runcit petrol RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak tiga sen bagi tempoh 20 November 2025 hingga 26 November 2025 seiring dengan peningkatan harga minyak dunia.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, RON97 kini RM3.28 seliter dan diesel di Semenanjung Malaysia pada harga RM3.10 seliter.
Sementara itu, berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism, harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi kekal pada RM2.65 seliter.
Manakala harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga kekal pada RM2.15 seliter.
“Kerajaan akan terus meneliti dan melaras harga runcit petrol RON97 dan diesel berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia semasa, namun keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga.
Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata kementerian itu.
