Rahman Dahlan tarik diri calon BN Tempasuk

KOTA KINABALU – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menarik diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk selepas namanya diumumkan sebagai calon, Ahad lalu.

Dalam kenyataan melalui Facebooknya, Timbalan Ketua UMNO Sabah itu berkata, beliau telah memaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,  mengenai hasrat untuk tidak meneruskan pencalonannya.

“Saya telah memberitahu Presiden bahawa saya ingin memberi laluan kepada muka baharu dan anak tempatan Kota Belud untuk mewakili UMNO di DUN Tempasuk.

Saya telah bertanding tiga kali di parlimen Kota Belud (2013, 2018 dan 2022). Dua kali menang dan sekali kalah. Dalam ketiga-tiga pertandingan itu, UMNO tetap memenangi undi di DUN Tempasuk walaupun kalah di kerusi Parlimen.

Saya percaya anak tempatan dari UMNO Kota Belud akan dapat menggalas tanggungjawab ini dengan cemerlang,” katanya yang akan terus membantu parti melalui kapasiti yang lain.

Abdul Rahman juga mengucapkan terima kasih kepada parti dan Ahmad Zahid yang mengumumkan pencalonannya pada 9 November yang lalu.

“Begitu juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan penyokong UMNO di DUN Tempasuk atas sokongan yang telah diberikan kepada saya selama ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan bahawa Abdul Rahman menyatakan hasrat untuk menarik diri tetapi tidak menyatakan sebab penarikan diri itu.

Berikutan perkembangan terbaharu itu, Bung Moktar berkata tempatnya sebagai calon BN di Tempasuk akan digantikan Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan.

Untuk rekod, Abdul Rahman pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal dari 2008, sebelum berpindah ke Parlimen Sepanggar pada 2018, namun tewas di tangan calon Parti Warisan, dan kembali bertanding di Kota Belud pada PRU 2022, tapi tewas juga di tangan calon Warisan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment