Gelandangan di England meningkat

LONDON – Laporan ‘Homelessness Monitor England 2025’ menunjukkan masalah gelandangan di England meningkat dengan ketara sepanjang tahun lalu, di mana jumlah individu tidur di jalanan meningkat 20 peratus kepada 4,667 orang.

Jumlah itu hampir dua kali ganda berbanding paras terendah semasa pandemik Covid-19.

Menurut laporan itu, lebih separuh daripada golongan yang tidur di jalanan di London kini bukan warganegara UK, mencerminkan peningkatan permohonan suaka dan usaha menyelesaikan kes tertunggak.

Pada 2024, sebanyak 330,000 isi rumah dinilai oleh majlis tempatan, iaitu pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan awam, sebagai gelandangan atau berisiko menjadi gelandangan.

Laporan itu menyebut, terdapat peningkatan empat peratus dalam setahun dan 21 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Kes di London meningkat dengan lebih pantas, dengan peningkatan tujuh peratus dalam kalangan mereka yang berisiko dan 27 peratus dalam kalangan yang sudah menjadi gelandangan.

Sebanyak 70 peratus pihak berkuasa tempatan berkata permintaan terhadap perkhidmatan bantuan gelandangan telah meningkat.

Kajian itu turut mendapati peningkatan ketara dalam kes gelandangan berpunca daripada pengusiran penghuni pusat penempatan suaka kendalian Pejabat Dalam Negeri, yang naik 37 peratus, serta dalam kalangan individu yang keluar dari institusi seperti penjara atau hospital, yang meningkat 22 peratus.

Jumlah kes berkaitan penderaan domestik juga meningkat 14 peratus sejak 2021 susulan pelaksanaan perlindungan undang-undang baharu bagi mangsa.

Pada masa yang sama, keberkesanan sistem dalam menangani masalah gelandangan dilaporkan semakin susut di mana yang berjaya mendapatkan penempatan susut daripada 47 peratus pada 2021 kepada 39 peratus pada 2024.

Nnnnnn

Related posts

Leave a Comment