PUTRAJAYA 1 Nov. – Selepas tercetus kontroversi ‘ugutan’ terhadap wartawan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan penganjuran Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) pada 17 November ini.
Menerusi kenyataan di Facebook KPKT, penganjuran ini sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada rakan-rakan media atas peranan penting memastikan penyampaian maklumat yang berkesan, tepat dan sahih kepada rakyat.
KPKT sentiasa menghormati peranan media sebagai pemangkin kemajuan negara serta rakan strategik kementerian yang membantu menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.
Anugerah berprestij ini diperkenalkan sejak tahun 2023 sebagai tanda pengiktirafan terhadap khidmat bakti dan sumbangan para pengamal media.
Pada tahun ini, sebanyak lapan kategori utama dipertandingkan, iaitu: Anugerah Khas Tertinggi Menteri; Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik; Anugerah Video Portal/Dalam Talian Terbaik; Anugerah Penyiaran Radio Terbaik.
Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik; Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik; Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik dan Anugerah Influencer atau KOL Terbaik
Karya yang dipertandingkan merangkumi pelbagai bidang tanggungjawab KPKT termasuk Perumahan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Wira Merah (Bomba), Kemampanan dan Kesejahteraan Bandar, Bandar Pintar, Pengurusan Sisa Pepejal, Inisiatif Kitar Semula, Kredit Komuniti, serta skop tugas dan peranan 14 jabatan serta agensi di bawah kementerian ini.
AKeMedia tahun ini telah menerima sebanyak 243 penyertaan setakat September lalu dan kini berada di peringkat penjurian akhir.
Para finalis yang terpilih oleh Malaysian Press Institute (MPI) akan dijemput menghadiri Majlis Makan Malam AKeMedia 2025 bagi memeriahkan acara penganugerahan berprestij tersebut.
KPKT turut mengalu-alukan kehadiran semua pengamal media ke majlis tersebut.
Melalui penganjuran ini, KPKT berharap dapat memperkukuh hubungan dan kerjasama strategik bersama rakan-rakan media, di samping meraikan jasa mereka dalam menyampaikan inisiatif serta pencapaian kementerian kepada masyarakat dalam mendukung aspirasi Malaysia Madani.
Nnnnn
