REE milik negeri, kerjasama pusat biar adil

SEPANG 30 Okt. – Majlis Menteri Besar Kerajaan Empat Negeri (SG4) menegaskan sumber mineral nadir bumi (REE) yang terdapat dalam sempadan negeri masing-masing adalah hak milik negeri sebagaimana termaktub di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Justeru gabungan empat negeri itu yang mewakili 70 peratus sumber REE terbesar negara, komited memastikan hasil kekayaan bumi tersebut diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat serta generasi akan datang.

SG4 menegaskan demikian dalam kenyataan bersama melibatkan Menteri Besar Terengganu sebagai Pengerusi,  Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Setiap negeri kini melaksanakan kajian terperinci serta membangunkan pelan strategik pengurusan dan pembangunan REE yang diselaraskan secara bersama meliputi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan tempatan.

Polisi semasa juga menetapkan mineral kritikal ini kekal di dalam SG4 dengan menarik penyertaan pelbagai pihak industri dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri.

Menurut kenyataan itu lagi SG4 juga menyatakan sokongan terhadap aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekosistem huluan, pertengahan dan hiliran dalam industri nadir bumi Malaysia.

“Kami memahami keperluan untuk mewujudkan rantaian nilai menyeluruh dari penerokaan hingga kepada pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan REE yang bernilai tinggi.

Namun demikian, SG4 menegaskan bahawa sebarang perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan tidak boleh dilakukan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri,” kata kenyataan itu.

SG4 juga sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati.

Bagaimanapun, SG4 menuntut agar pengalaman lampau berhubung perjanjian royalti minyak tidak berulang dalam konteks industri REE di mana pengurusan dan pembahagian hasil perlu berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang.

SG4 berpandangan bahawa pembangunan industri REE negara harus dilaksanakan di negeri pemilik sumber tersebut supaya limpahan ekonomi dan ekosistem industri turut dinikmati rakyat setempat.

Hasil negeri juga tidak boleh terhad kepada royalti semata-mata, tetapi mesti melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi yang nyata kepada negeri dan rakyatnya.

SG4 juga menyeru agar sebarang pelan pembangunan REE peringkat nasional serta rundingan antarabangsa menghormati hak negeri dan menyertakan wakil negeri-negeri sumber dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment