PUTRAJAYA 16 Okt. – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah diarah menjalankan siasatan dalaman dengan segera dan mengambil hukuman tegas termasuk buang sekolah ke atas mereka yang bersalah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, arahan itu dikeluarkan susulan satu kes rogol membabitkan beberapa pelajar di sebuah sekolah di Baling.
Beliau berkata, perhatian utama Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini adalah untuk memastikan mangsa diberi bantuan terbaik dalam menempuh situasi sukar terbabit.
“Sewaktu saya sedang menjawab dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pagi tadi, negara dikejutkan lagi dengan pelaporan media mengenai kes rogol membabitkan beberapa orang murid di negeri Kedah.
Perhatian utama kami pada ketika ini adalah untuk memastikan mangsa diberi bantuan terbaik dalam menempuh situasi sukar ini. Aspek kesejahteraan mangsa diberi sepenuh perhatian.
“Semua suspek sudah ditahan reman untuk membantu siasatan pihak polis,” katanya melalui media sosial, hari ini.
Pada masa sama, Fadhlina berkata, beliau turut berkongsi rasa marah, sedih dan kecewa bersama seluruh rakyat negara ini atas insiden yang berlaku.
Beliau berkata, semua kejadian yang berlaku bukan kebetulan sebaliknya ia menunjukkan negara sedang berhadapan dengan kebejatan sosial yang kian meruncing.
“Betapa kita sedang berhadapan dengan kebejatan sosial yang kian meruncing. Ia menuntut kita untuk bersama-sama berusaha menangani masalah ini demi masa hadapan anak-anak kita,” katanya
Terdahulu, empat remaja termasuk tiga pelajar sebuah sekolah dalam daerah Baling, ditahan polis kerana disyaki terbabit rogol secara berkumpulan dan menyebarkan bahan lucah di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali, dilaporkan berkata polis menerima satu laporan daripada seorang pengadu berusia 53 tahun pada Ahad lalu kira-kira pukul 11 pagi selepas dia dimaklumkan guru disiplin berkaitan penularan rakaman video anaknya berbogel.
Susulan itu, tiga pelajar sekolah berkenaan dan seorang lagi bekas pelajar sekolah sama, ditahan pada jam 9.30 malam pada hari sama untuk membantu siasatan.
“Hasil siasatan lanjut mendapati, empat suspek terbabit didapati melakukan seks termasuk secara berkumpulan pada Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi dalam kelas sekolah berkenaan.
“Berikutan itu, semua suspek ditahan dan direman lima hari mulai tarikh mereka ditangkap dan merampas enam telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” katanya.
Nnnnn
