6 lebuh raya, 25 jalan utama ditutup

KUALA LUMPUR 16 Okt . – Enam lebuh raya dan 25 jalan utama akan ditutup secara berperingkat mulai 26 hingga 28 Oktober ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Lebuh raya itu adalah Lebuhraya ELITE (KLIA-Putrajaya); Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) (Subang-Jalan Duta); Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE); Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) (Sungai Buloh-Jalan Duta); Lebuhraya Maju (MEX); Lebuhraya KL-Seremban (Sungai Besi-Pusat Bandar).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata sepanjang persidangan itu, sebanyak 1,111 petugas trafik akan ditempatkan melibatkan 91 pegawai dan 1,020 anggota.

Katanya, penugasan dijalankan termasuk mengiringi kenderaan orang kenamaan, mengawal lalu lintas dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 berlangsung.

Bagaimanapun, raptai pergerakan motoked membabitkan laluan dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang ke hotel penginapan di sekitar Kuala Lumpur (KLCC) dan Seri Negara akan bermula hari ini hingga 24 Oktober.

“Malaysia pula akan mula menerima kehadiran delegasi bermula 25 hingga 28 Oktober yang mana penutupan jalan secara berperingkat dan lencongan jalan membabitkan enam lebuh raya serta 25 jalan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Pengarah JSPT di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna tidak melalui laluan terbabit dengan penutupan atau lencongan dan menggunakan jalan alternatif bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Pengguna jalan raya juga perlu merancang perjalanan dengan lebih awal, patuhi arahan petugas trafik yang bertugas di lokasi dan digalak menggunakan pengangkutan awam seperti monorel, LRT, MRT dan bas.

“Bagi petugas dan pihak media yang terbabit pula, jika perlu tunjukkan pas pekerja namun pastikan datang lebih awal untuk mengelak kesesakan jalan raya,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment