ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menegaskan perang di Gaza telah berakhir dan yakin perjanjian gencatan senjata berdasarkan pelan 20 perkara yang diumumkannya Rabu lalu akan kekal utuh.
“Perang sudah berakhir, faham?” kata Trump kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One selepas berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Andrews di Maryland menuju ke destinasi pertamanya, Tel Aviv.
Beliau menjawab pertanyaan mengenai Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang belum mengakui berakhirnya konflik itu.
Trump berlepas ke Asia Barat bagi menghadiri sidang kemuncak antarabangsa berhubung gencatan senjata yang dipersetujui di wilayah berkenaan,
“Terdapat banyak sebab mengapa ia akan bertahan. Tapi saya fikir semua orang sudah letih dengannya. Ini bukan baru-baru ini, tapi sudah berlarutan berabad lamanya,” katanya.
Trump dijadual tiba di Tel Aviv pada 9.20 pagi Isnin waktu tempatan, bertemu keluarga tawanan dan berucap di Knesset (parlimen Israel).
Beliau akan berlepas ke Sharm el-Sheikh, Mesir pada 1 tengah hari waktu tempatan untuk menghadiri dan mempengerusikan bersama Sidang Keamanan Sharm el-Sheikh mengenai gencatan senjata Gaza bersama Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi.
Lebih 20 pemimpin dunia dijangka menghadiri sidang itu termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Raja Jordan, Abdullah II; Raja Bahrain, Hamad bin Isa Al Khalifa; Perdana Menteri Britain, Keir Starmer; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Canselor Jerman, Friedrich Merz.
Mesir dalam kenyataannya memaklumkan sidang itu bertujuan “mengakhiri perang di Semenanjung Gaza, memperkukuh usaha membawa keamanan dan kestabilan ke Asia Barat serta fasa baharu keselamatan dan kestabilan serantau.”
Nnnn
