Israel isytihar kemenangan

BAITULMAQDIS – Israel mengisytiharkan kemenangan dalam peperangan dengan Hamas apabila kumpulan pejuang itu bersiap sedia untuk membebaskan baki tebusan yang masih hidup.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan yakin menyatakan: “Ini adalah malam yang penuh emosi, malam air mata dan kegembiraan, kerana esok anak-anak kita akan pulang ke sempadan kita.

“Kita telah mencapai kemenangan besar yang mengagumkan seluruh dunia… tetapi saya harus katakan, perjuangan ini belum berakhir.”, katanya sambil memetik ayat kitab agamanya.

Ketua tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, turut mengisytiharkan kemenangan.

“Tekanan ketenteraan yang kami kenakan sejak dua tahun lalu, bersama langkah diplomatik yang melengkapinya, membentuk kemenangan terhadap Hamas,” katanya.

Di bawah pelan damai dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebaik sahaja tebusan diserahkan, Israel akan mula membebaskan kira-kira 2,000 tahanan Palestin sebagai pertukaran.

Jurucakap pejabat Netanyahu, Shosh Bedrosian, berkata pembebasan tebusan dijangka bermula awal hari ini dengan Israel “menjangka kesemua 20 tebusan yang masih hidup akan dibebaskan serentak.”

Namun seorang pegawai kanan tentera Israel memberi amaran: “Malangnya, kami menjangka tidak semua tebusan yang telah terkorban akan dikembalikan esok.”

Bedrosian turut memaklumkan bahawa sebuah badan antarabangsa akan ditubuhkan untuk mengesan mayat tebusan yang tidak dikembalikan dalam pertukaran itu.

Trump dijadual tiba di Israel sejurus selepas pembebasan dijangka berlaku, sebelum berucap di Parlimen Israel (Knesset) seterusnya ke Mesir bagi mempengerusikan sidang kemuncak pemimpin dunia di Sharm el-Sheikh, bagi menyokong pelannya menamatkan perang Gaza.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengesahkan kehadirannya di sidang kemuncak itu.

Begitu juga Perdana Menteri Britain, Keir Starmer; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez; Raja Abdullah dari Jordan dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Nnn

Related posts

Leave a Comment