MIC tidak tanding PRN Sabah

KUALA SELANGOR 12 Okt. – MIC tidak akan diturunkan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 selepas mengambil kira jumlah pengundi India yang kecil di negeri itu.

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, BN akan menampilkan calon daripada UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)

“Insya-Allah, kebanyakan calon BN adalah muka baharu dan kita kekalkan muka lama serta akan ramaikan golongan profesional menjadi calon BN,” katanya kepada pemberita pada program Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN sudah dimuktamadkan dan tiada pertindihan kerusi berlaku.

Menyentuh jumlah kerusi bakal ditandingi BN, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diumumkan pada hari penamaan calon.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam adalah Ahli DUN dilantik dibubarkan pada 6 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN-17.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Oktober ini bagi membincangkan beberapa tarikh penting dan perkara lain berkaitan PRN berkenaan.

NNNN

Related posts

Leave a Comment