KOTA KINABALU 6 Okt. – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menerima kejutan awal pada hari pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini apabila lima wakil rakyatnya sebelum ini menyatakan hasrat meninggalkan parti itu.
Mereka dijangka menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 dengan kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Timbalan Presiden STAR, Ellron Angin yang juga ADUN Sook, mengesahkan perkara itu kepada media selepas hadir pada pengumuman pembubaran DUN oleh Ketua Menteri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini.
“Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (presiden parti) sepatutnya sudah tahu tentang perkara ini. Kami akan mengeluarkan kenyataan bersama mengenainya,” kata Ellron Angin .
Empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ialah Flovia Ng (Tulid), Datuk Annuar Ayob (Liawan), Robert Tawiq (Bingkor) dan Abidin Madingkir (Paginatan).
Hajiji juga mengesahkan beberapa orang wakil rakyat STAR yang hadir pada pengumuman itu menyatakan sokongan kepada GRS.
Terdahulu, Dr Jeffery selaku Presiden STAR memutuskan untuk keluar daripada gabungan terbabit, dan bertanding secara solo disebabkan oleh kerjasama gabungan itu dengan Pakatan Harapan (PH).
Dalam mesyuarat Majlis Presiden GRS, Hajiji yang juga Pengerusi GRS, menegaskan bahawa mana-mana ahli parti komponen dalam gabungan itu yang mahu bertanding menggunakan logo sendiri akan diberhentikan keahlian.
Turut mengikut jejak STAR adalah Parti Maju Sabah (SAPP), yang dipimpin Yong Teck Lee.
Dalam pada itu Hajiji yakin kekuatan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kekal bersama GRS dapat memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan sokongan di kawasan majoriti Kadazan-Dusun-Murut-Rungus (KDMR).
“Kita amat yakin dengan PBS. Pengaruhn kekuatan mereka cukup besar dan akan membantu GRS dalam memastikan kemenangan di kawasan KDMR,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan GRS – PH bekerja dengan gigih untuk membawa perubahan dan pertumbuhan yang bermakna kepada negeri dan rakyat sepanjang lima tahun yang lalu.
Katanya, agihan kerusi antara kedua-dua gabungan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat melalui perbincangan bersama, dengan semangat saling menghormati dan matlamat untuk memastikan kemenangan kerajaan perpaduan di Sabah.
Untuk rekod, sebelum pembubaran, jumlah kerusi ADUN menyaksikan GRS mengetuai blok kerajaan negeri bersama PH dan tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN) yang menyokong pentadbiran kerajaan negeri itu dengan jumlah 53 kerusi termasuk empat ADUN dilantik.
Di blok pembangkang diketuai Parti Warisan (WARISAN) bersama BN dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dengan jumlah 22 kerusi termasuk dua ADUN dilantik.
Nnnn
