JEDDAH – Pemegang semua jenis visa boleh menunaikan umrah ketika berada di Arab Saudi, demikian dimaklumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Menurut kementerian itu, visa itu termasuk visa lawatan peribadi dan keluarga, visa pelancong elektronik, visa transit, visa kerja dan pelbagai jenis visa lain.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memudahkan prosedur jemaah umrah dan memperluas akses kepada perkhidmatan sistem Haji dan Umrah, bagi menyokong objektif Wawasan Saudi 2030.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa langkah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memudahkan ketibaan umat Islam dari seluruh dunia bagi menunaikan ibadah mereka dengan mudah dan tenang.
Selain itu, kementerian berkenaan memaklumkan bahawa pihaknya baru-baru ini melancarkan platform digital “Nusuk Umrah” bagi memudahkan mereka yang ingin menunaikan umrah secara langsung, membolehkan pengguna memilih pakej sesuai serta mendapatkan permit umrah secara elektronik dengan mudah.
Platform digital bersepadu itu juga membolehkan pengguna menempah perkhidmatan dan menetapkan waktu dengan lebih fleksibel.
Nnnn.
