KAHERAH – Selepas memberikan maklum balas positif terhadap pelan hala tuju Donald Trump, Hamas menggesa supaya pertukaran tahanan-tebusan dengan Israel dimulakan dengan kadar segera.
Desakan itu adalah sebahagian daripada usaha menamatkan perang di Gaza, dan membebaskan tawanan di Gaza sebagai pertukaran kepada rakyat Palestin yang dipenjarakan di Israel.
Presiden Amerika Syarikat (AS) itu turut menggesa kedua-dua pihak untuk bertindak pantas dan ketika ini wakil kedua-dua pihak sedang menuju ke Mesir bagi memuktamadkan rundingan untuk menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza.
Menurut laporan media, berlaku perbincangan yang sangat positif dengan Hamas dan negara-negara dari seluruh dunia (Arab, Islam, dan lain-lain) hujung minggu ini untuk membebaskan tebusan, menamatkan perang di Gaza.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Gaza melaporkan sebanyak 131 serangan dilancarkan oleh tentera Israel dalam tempoh 48 jam terakhir, menyasarkan kawasan kediaman, pusat perlindungan dan kemudahan awam di seluruh wilayah yang terkepung itu.
Menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza, serangan itu menyebabkan kematian ratusan penduduk Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan ratusan lagi.
Antara lokasi yang terjejas termasuk sekolah, pasar awam, dan pusat agihan bantuan yang sesak dengan ribuan pelarian.
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan sekurang-kurangnya 130 orang terbunuh dan lebih 260 cedera dalam tempoh dua hari, dengan ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Israel menafikan dakwaan menyasarkan orang awam dan menyifatkan operasi ketenteraan itu sebagai usaha mengekang aktiviti Hamas.
