KENYATAAN MEDIA
Tan Sri Ambrin bin Buang
Anak Jati Kampong Bharu,
Mantan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB),
Ahli Dewan Diraja Selangor.
1. Saya, Tan Sri Ambrin bin Buang, adalah merupakan seorang anak jati Kampong Bharu, mantan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan Ahli Dewan Diraja Selangor.
Saya ingin memberi pandangan mengenai pembangunan Kampong Bharu khususnya berkaitan dengan pertahanan dan kedudukan “Kampong Sungai Baru” yang telah mendapat perhatian masyarakat.
2. Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini mengiringi hasrat dan titah DYMM Sultan Selangor melalui kenyataan akhbar Istana Alam Shah pada 18 September 2025 berhubung isu kenyataan akhbar mengenai “Kampung Sungai Baru”, Kuala Lumpur.
Kenyataan akhbar tersebut DYMM Sultan Selangor bersetuju bahawa kawasan Kampung Sungai Baru adalah sebahagian daripada Kampong Bharu.
Tambahan lagi, DYMM Tuanku juga mengingatkan bahawa Kampong Bharu adalah satu-satunya kawasan penempatan orang Melayu yang terbesar di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Saya ingin menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap kenyataan akhbar ini.
Saya juga ingin menambah kenyataan bahawa kampung ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi.
3. Kampong Bharu merupakan lambang identiti orang Melayu di Kuala Lumpur.
Kampung ini telah menjadi nadi penggerak ekonomi orang Melayu di bandar raya ini.
Dengan itu, sebarang pembangunan Kampong Bharu hendaklah mengambil kira kepentingan orang Melayu sebagai pemilik dan pewaris asal kawasan ini.
Sebarang usaha pembangunan yang mengenepikan kepentingan masyarakat Melayu akan menyebabkan kehilangan warisan yang tidak ternilai ini.
4. Izinkan saya mengupas sedikit sejarah kewujudan Kampong Bharu dari kajian saya sendiri serta maklumat yang saya perolehi memandangkan saya sendiri merupakan anak jati Kampong Bharu.
Dari segi sejarahnya dan hasil semakan saya, asal-usul tanah Kampong Bharu yang seluas lebih kurang 220 ekar telah diwartakan sebagai Malay Agricultural Settlement (selepas ini dirujuk sebagai “MAS”) pada 12 Januari 1900, bagi tujuan penempatan dan pemeliharaan untuk orang-orang Melayu.
Tanah ini adalah hasil kurniaan Almarhum Sultan Ala’iddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa. Sultan Selangor ketika itu bertitah tanah (90% tanah ini) telah diwartakan untuk umat Islam Melayu dengan tujuan asalnya projek persawahan dan tanaman sayur bagi penduduk kampung.
5. Adalah menjadi kenyataan sejarah bahawa tanah ini dikhaskan hanya untuk orang Melayu.
Malah, fakta berkaitan hal ini juga pernah melalui kajian Royal Commission of Enquiry (RCE) mengenai hal-hal perumahan dan kebajikan orang Melayu di Kuala Lumpur pada tahun 1957 yang disiarkan oleh Government Printer.
Jelas, Royal Commission of Enquiry ini juga menyokong fakta bahawa Kampong Bharu adalah khas untuk orang Melayu.
Selanjutnya, satu lagi fakta penting adalah keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 17 Mei 1974 yang mengesahkan perkara ini sebelum Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditubuhkan.
6. Baru-baru ini timbul isu tentang pembangunan “Kampung Sungai Baru” yang mana ianya merupakan satu kawasan di bawah MAS.
Saya amat bersetuju dengan pandangan bahawa warta MAS berkenaan kepada pewartaan khas tanah ini sebagai penempatan Melayu.
Berdasarkan kepada fakta ini, jelaslah bahawa Kampung Sungai Baru adalah sebahagian daripada tanah MAS dan oleh yang demikian, ianya hendaklah kekal sebagai tanah rizab Melayu.
7. Mengambil kira faktor di atas dan mengambil kira hasrat DYMM Sultan Selangor ketika itu agar orang-orang Melayu memiliki tanah dan penempatan di pusat bandar Kuala Lumpur, saya membuat kesimpulan bahawa tanah “Kampung Sungai Baru” boleh diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada tanah MAS.
Di samping itu, fakta untuk menekankan klasifikasi sebagai tanah MAS untuk kawasan Melayu ini boleh diperkuatkan dengan melihat kepada surat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 5 Mei 1970 yang secara jelas menyatakan bahawa tanah “Kampung Sungai Baru” ini merupakan tanah khas orang Melayu.
Surat rasmi menyatakan tujuan tanah yang dikeluarkan untuk tujuan khas ini boleh diwakafkan untuk orang Melayu.
Lantaran itu ianya berkekalan untuk kepentingan orang Melayu sahaja.
8. Sehubungan itu, saya berpendapat bahawa masalah ini hendaklah dirujuk dan dirundingkan dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.
Saya juga menyarankan supaya satu jawatankuasa khas diwujudkan yang terdiri daripada pakar-pakar undang-undang tanah, sejarah dan perancangan bandar, serta dianggotai oleh tokoh masyarakat Kampong Bharu bagi mencari penyelesaian muktamad.
Saya percaya penyelesaian yang tuntas boleh dicapai demi mempertahankan hak orang Melayu di Kampong Bharu.
Dengan ini, saya sekali lagi menyatakan sokongan terhadap kenyataan akhbar Istana Alam Shah berhubung isu Kampung Sungai Baru.
Diharap hasrat Almarhum Sultan dan Raja Muda Musa untuk mengekalkan Kampong Bharu sebagai kawasan khas orang Melayu di tengah Kuala Lumpur akan terus dipertahankan.
Sekian, terima kasih.
Tan Sri Ambrin Buang
(Mantan Ketua Audit Negara)
