PUTRAJAYA 22 Sept. — Pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter akan bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.
Mulai tarikh yang sama juga bagi bukan warganegara dan syarikat besar, harga RON 95 adalah pada RM2.60.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Katanya, inisiatif itu dibuat di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,
Anwar berkata, penyasaran subsidi BUDI95 bermula 30 September ini dengan semua warganegara layak untuk harga RM1.99 dan pada masa sama harga di pam dinaikkan kepada harga tanpa subsidi.
Bagaimanapun, sebelum tarikh kuat kuasa, warga polis dan tentera akan mula menikmati harga RM1.99 seliter pada hari Sabtu, 27 September 2025.
“Di samping itu, golongan B40 yang merupakan penerima STR (Sumbangan Tunai Rahmah), juga boleh mula menikmati harga RM1.99 seliter bermula hari Ahad, 28 September 2025 dan pelaksanaan ini supaya rakyat dapat membiasakan diri dengan mekanisme RON95 secara berperingkat,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan di bawah inisiatif BUDI95, namun bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.
“Kerajaan memutuskan semua warganegara dengan lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95. Seperti langkah penghargaan SARA (Sumbangan Asas Rahmah), tahap pendapatan tidak digunakan untuk menidakkan seseorang daripada menikmati subsidi RON95.
“Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta penerima manfaat BUDI95,” katanya.
Mengenai mekanisme penggunaan BUDI95, beliau berkata, rakyat dinasihatkan supaya semak cip MyKad supaya berfungsi dan memiliki lesen memandu sah.
“Seperti SARA, tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95, hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi. Hampir serupa dengan proses transaksi semasa, hanya tambah satu langkah pengesahan MyKad diikuti proses biasa untuk membayar.
“Disediakan pembaca MyKad di dalam kedai dan juga di pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan. Untuk mereka yang celik digital, terdapat opsyen digital seperti TouchNGo dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel, supaya tidak memerlukan MyKad setiap transaksi,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, Malaysia menjadi satu-satunya negara yang berani mengambil langkah menurunkan harga minyak bagi rakyatnya dan tidak untuk warga asing.
Beliau menyenaraikan harga minyak seliter di beberapa negara antaranya, Arab Saudi (RM2.61), Indonesia (RM3.22), Filipina (RM4.22), Thailand (RM5.68) dan Singapura (RM9.02).
Nnnnn
