India gesa rakyat pilih barang tempatan

NEW DELHI – Perdana Menteri India, Narendra Modi, menggesa rakyatnya berhenti menggunakan produk buatan luar negara sebaliknya memilih barangan tempatan, dalam usaha memperkukuh kempen berdikari.

Gesaan itu dibuat ketika hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) semakin meruncing selepas Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif sebanyak 50 peratus terhadap barangan import dari India.

Susulan itu, Modi menekankan kepentingan penggunaan barangan “Swadeshi” atau buatan India dan pada masa sama penyokongnya melancarkan kempen memboikot jenama Amerika seperti McDonald’s, Pepsi dan Apple yang begitu popular dalam kalangan pengguna India.

“Banyak produk yang kita gunakan setiap hari sebenarnya buatan asing, tetapi kita tidak sedar… kita perlu singkirkan produk-produk ini,” kata Modi dalam perutusan khas kepada rakyat menjelang pelaksanaan pengurangan cukai pengguna secara besar-besaran hari ini.

“Kita harus membeli produk yang dihasilkan di India,” tambah beliau tanpa menamakan mana-mana negara secara khusus.

Dengan populasi mencecah 1.4 bilion orang, India menjadi pasaran utama bagi produk pengguna dari AS, yang sering diperoleh menerusi peruncit dalam talian seperti Amazon.com.

Malah, pengaruh jenama Amerika sudah menembusi bandar-bandar kecil di negara itu.

Modi turut menggesa peniaga supaya memberi keutamaan kepada penjualan produk tempatan, sambil menegaskan langkah tersebut mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, semakin banyak syarikat di India meningkatkan promosi terhadap barangan tempatan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan India, Piyush Goyal dijangka berkunjung ke Washington dalam masa terdekat untuk rundingan perdagangan, dalam usaha meredakan ketegangan hubungan dua hala.

Nnn

Related posts

Leave a Comment